Pasukan JDT meraikan kejayaan merangkul Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan kejayaan Harimau Selatan merangkul kejuaraan Piala Malaysia adalah hasil usaha keras barisan pemainnya.
JDT muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sekali gus melakar sejarah muncul pasukan pertama meraih 'double quadruple'.
Solari mengakui barisan pemainnya bergelut untuk memperagakan aksi corak permainan terbaik mereka susulan keadaan permukaan padang rosak.
Pengendali dari Argentina itu bagaimanapun menjelaskan semangat tidak putus asa pemainnya yang terus mencuba hingga minit akhir membolehkan mereka meraih kemenangan.
"Kami sangat gembira memenangi gelaran keempat musim ini. Ia perlawanan yang sukar kerana Terengganu juga beraksi dengan baik.
"Situasi padang teruk tetapi ia bukan alasan dan pemain tetap memberikan yang terbaik. Mereka mencuba dan terus mencuba hingga kami mendapat jaringan dan muncul juara," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan JDT sekali lagi menyapu bersih semua empat trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dua musim berturut-turut selepas melakar pencapaian sama musim lalu.
Lebih manis buat pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) 2021 dan 2022, Arif Aiman Hanapi apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
|