WARGA asing yang ditahan JIM Negeri Johor dalam operasi di flat dekat Pasir Gudang, hari ini. FOTO Ihsan JIM Johor
Johor Bahru : Seramai 57 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam operasi di sebuah flat dekat Pasir Gudang di sini, hari ini.
Dalam Ops Sapu kira-kira jam 12.20 tengah malam itu, semua warga asing yang berusia antara 19 hingga 64 tahun ditahan selepas didapati tiada dokumen pengenalan diri dan ada yang tinggal lebih masa di Malaysia.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, operasi itu adalah hasil risikan yang dibuat selama seminggu selepas menerima aduan orang awam mengenai kewujudan penduduk warga asing yang menimbulkan kegusaran dalam komuniti setempat.
"Kita sebenarnya pernah menjalankan serbuan di kawasan flat ini tahun lalu dan ini adalah serbuan kedua di lokasi yang sama.
"Kita sebenarnya pernah menjalankan serbuan di kawasan flat ini tahun lalu dan ini adalah serbuan kedua di lokasi yang sama.
"Daripada jumlah itu, seramai 24 lelaki warga Pakistan; 13 lelaki dan lapan wanita warga Indonesia; lapan lelaki Bangladesh; tiga lelaki Nepal serta seorang lelaki warga India ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal lebih masa.
"Ada juga yang disiasat bagi kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
Pada masa sama, Baharuddin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membuat aduan dan mengambil berat terhadap isu pendatang asing tanpa izin (Pati).
"Kita menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang Pati atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
"Operasi penguatkuasaan ini akan terus giat dijalankan setiap hari bukan sahaja bagi menangkap Pati, malah memutuskan rangkaian jenayah dan aktiviti tidak bermoral yang membabitkan warga asing," katanya.
|