MASHITAH bergambar dengan ibu, Naseemah Packerai Mohamed dan bapanya, Ab Razak Talib buat kali pertama dalam seumur hidupnya selepas majlis konvokesyen UM pada 25 November lalu. FOTO Ihsan Mashitah Ab Razak
Kuala Lumpur: "Seumur hidup, saya tak pernah ada potret keluarga jadi kejayaan terima anugerah waktu konvokesyen tempoh hari adalah rahmat kerana dapat satukan emak dan ayah dalam satu gambar," kata Mashitah Ab Razak, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) lulusan Universiti Malaya (UM).
Mashitah, 24, menerima skrol ijazahnya ketika majlis konvokesyen pada 25 November lalu dan lebih mengagumkan lagi apabila terpilih penerima Anugerah Pelajaran Diraja UM atas kecemerlangannya dalam akademik.
Menyingkap kisahnya, Mashitah berkata, ibu, Naseemah Packerai Mohamed, 56, dan Ab Razak Talib, 58, berpisah sejak dia berumur 13 tahun.
Jadi, kehidupan Mashitah tidak seperti kebanyakan rakan sebayanya kerana ada masanya tinggal bersama ibu di Johor dan kadangkala pulang ke rumah bapanya di Pahang.
"Walaupun sudah berpisah, emak dan ayah sentiasa beri galakan kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh.
"Cuma salah satu dorongan saya dapat keputusan cemerlang hingga terima anugerah adalah kerana nak ada dalam satu gambar dengan emak dan ayah.
"Alhamdulillah, impian saya itu tercapai jadi tak ada alasan untuk emak dan ayah tak datang ke majlis konvokesyen tempoh hari serta bergambar dengan saya," katanya ketika dihubungi.
Di sebalik kejayaannya itu, Mashitah yang kini bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat di Menara Mutiara Bangsar, di sini mengakui perjalanannya tidak mudah kerana
berdepan beberapa cabaran yang perlu diatasi.
Menurut Mashitah, salah satu cabarannya adalah kerana tiada panduan atau rujukan bagi hal berkaitan akademik memandangkan dia adalah anak tunggal dalam keluarga.
"Ibu bapa saya pula duduk berjauhan jadi pembahagian masa dengan keluarga terutama ketika belajar agak sukar.
"Ia kerana ada masanya saya pulang ke rumah ayah dan kadangkala tinggal dengan emak jadi masa agak suntuk hingga ada waktunya hanya sempat buat tugasan waktu tengah malah.
"Saya pula bukan datang daripada keluarga senang kerana emak bekerja sebagai tukang cuci dan ayah pula tukang kebun. Jadi, saya buat dua ke tiga kerja juga waktu belajar untuk cari duit poket bagi meringankan beban ibu bapa walaupun mereka menyara saya.
"Syukur semuanya dipermudahkan hingga dapat genggam ijazah dan berharap dapat menyambung pengajian peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan seterusnya mengejar impian bergelar guru Bahasa Inggeris atau pensyarah," katanya yang turut berharap anak muda lain tidak putus asa dalam mengejar impian dan kejayaan.
|