CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 835|Reply: 0

[Terengganu] Memastikan 'Api' Kemaman terus menyala

[Copy link]
Post time 13-11-2023 04:18 PM | Show all posts |Read mode

Pemandangan kawasan Perindustrian Petroleum Petronas Kerteh di Kemaman. FOTO BERNAMA

Chukai: 'City of lights' rupa-rupanya bukan hanya di ibu negara dek kerana lampu-lampu pencakar langit di waktu malam tetapi di sini, juga sinonim dengan julukan nama sama kerana limpahan cahaya dari Kawasan Perindustrian Petroleum Petronas Kerteh.

Kehadiran industri minyak dan gas ini, selain industri petrokimia, elektronik, pembuatan dan logistik di daerah itu sejak 1980-an lagi, mengubah landskap ekonominya secara drastik daripada hanya tertumpu kepada aktiviti pertanian dan perikanan, sehingga kini menjadi antara kawasan yang termaju di negeri itu.

Ia bukan sahaja membuka beribu peluang pekerjaan baharu kepada penduduk di daerah yang terletak kira-kira 160 kilometer dari ibu negerinya Kuala Terengganu ini, malah menjana sektor ekonomi hiliran seperti industri makanan dan minuman, penginapan, pelancongan dan e-panggilan serta p-panggilan, disebabkan permintaan tinggi.

Malah, daerah ketiga terbesar di negeri Pantai Timur itu juga, merupakan yang pertama mempunyai gedung pasar raya dan menjadi tumpuan beli-belah bagi penduduk di Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang satu ketika dahulu, menurut seorang penduduk di Bukit Kuang di sini, Raihan Tikah, 59.


"Semasa mak cik mula-mula pindah, Bukit Kuang ini masih terdapat banyak kawasan hutan, kalau ada rumah pun jumlahnya boleh dikira dengan jari.

"Pak cik (suami) dahulu kerja macam-macam seperti pemandu, buruh, juruteknik kilang dan sebagainya, sehinggalah beberapa tahun kemudian pakcik kerja dalam sektor minyak dan gas," katanya yang mengikuti suaminya, Jaafar Ismail, 67, berhijrah dari Kuala Terengganu ke daerah itu kira-kira 40 tahun lalu.

Kawasan Parlimen Kemaman itu dengan empat Dewan Undangan Negeri iaitu Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai, akan menyaksikan Pilihan Raya Kecil dijalankan di mana penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini, manakala pengundian, 2 Disember nanti.

Seorang peniaga restoran di Taman Cukai Utama di sini, Maizun Ahmad, 43, menjadikan faktor kepesatan pembangunan di Kemaman sebagai alasannya berhijrah dari Felda Neram 2 di sini, untuk membuka perniagaan makanan di bandar Chukai sejak 18 tahun lalu.

"Di waktu awal ketika berpindah ke bandar, saya memulakan perniagaan kantin sekolah tetapi apabila saya tengok potensi luas, saya nekad membuka restoran.

"Kini, Alhamdulillah perniagaan semakin maju dan pelanggan begitu ramai terutama dalam kalangan pekerja kilang serta minyak dan gas," katanya.

Sektor perindustrian di Kemaman turut menyumbang kepada kewujudan lebih 40 buah kedai kopi yang dimiliki usahawan tempatan terutama golongan muda, menurut pemilik kedai kopi Pedalhaus, Muhammad Hafiz Yusof, 37.

"Seperti kita tahu pendapatan mereka yang bekerja di industri terutama minyak dan gas agak lumayan, jadi mereka tidak kisah membayar sehingga RM10 untuk secawan kopi.

Ditambah pula sekarang ramai penggemar kopi memilih untuk minum kopi dibuat orang tempatan," katanya.

Pembangunan pelbagai industri dan arus kemodenan di Kemaman bagaimanapun tidak menghalang aktiviti tradisional lain seperti perikanan untuk terus rancak menjana ekonomi penduduk setempat.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, Mat Yassim Mohamed berkata, kini terdapat lebih 500 nelayan yang masih aktif menangkap ikan di sepanjang kawasan perairan Kemaman terutama dari Teluk Kalong hingga ke Kuala Kemaman.

"Tetapi daripada lebih 500 nelayan di Kemaman, hanya 20 peratus sahaja yang terdiri daripada golongan muda. Hal itu berikutan anak-anak muda di Kemaman lebih berminat untuk bekerja di industri berbanding menangkap ikan," katanya.

Kemajuan dan kepesatan pertumbuhan ekonomi di Kemaman bagaimana pun turut 'menghimpit' golongan muda di daerah itu, apabila sebahagian mereka yang terlibat dalam sektor industri hanya sekadar mengisi jawatan rendah seperti operator kilang, pekerja am dan sebagainya.

Seorang penduduk, Wan Muhammad Safuan Wan Salleh, 33, yang berasal dari Teluk Kalong mendakwa hal terbabit berlaku kerana jawatan tinggi seperti pengurus atau penyelia kilang, kebanyakannya diisi warga asing.

Sementara itu, Mohammad Yusri A. Rahman, 40, berharap calon wakil rakyat baharu yang bakal dipilih pada PRK Parlimen Kemaman 2 Disember ini merupakan individu yang mempunyai visi bagi memajukan daerah tersebut untuk jangka masa panjang, dan menarik minat golongan belia menyambung pelajaran.

"Yang penting, wakil rakyat yang dipilih nanti dapat melihat kepada segala infrastruktur asas, dan dapat juga kalau boleh meningkatkan lagi tahap untuk pembangunan demi pembangunan sosio-ekonomi rakyat tempatan di sini," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... maman-terus-menyala

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-6-2024 01:23 AM GMT+8 , Processed in 1.831043 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list