|
PETALING JAYA – Seorang wanita cemas ketika lif yang dinaikinya di pusat beli-belah Subang Parade dimasuki air dalam kejadian banjir, Ahad lalu.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @theandyands di akaun TikToknya, dia dan keluarganya serta beberapa individu lain terperangkap di dalam lif berkenaan selama beberapa minit.
Air tidak henti memasuki lif dari bumbung sehingga membuatkan para pengunjung yang terperangkap menjadi panik.s
“Saya dan keluarga saya, bersama beberapa orang lain terperangkap dalam suasana yang menakutkan ini di Subang Parade semalam (kelmarin).
“Bayangkan anda terperangkap dalam lif selama beberapa minit semasa air hujan mencurah-curah ke seluruh tubuh anda.
“Masuk akal jika tempat letak kereta bawah tanah atau pusat membeli-belah ditenggelami air, tetapi ini di dalam lif?,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tambahnya, dia berharap pihak pengurusan mengambil tindakan segera dengan menyelenggara pusat membeli-belah itu dengan baik.
Difahamkan semua individu yang terperangkap dalam lif itu terselamat dan berjaya dikeluarkan melalui pintu lif yang terbuka sedikit.
Di ruangan komen mendapati ramai yang tidak menyangka kejadian banjir di pusat beli-belah itu akan terjadi lebih-lebih lagi situasi yang dihadapi oleh wanita tersebut di dalam lif.
“Sangat bahaya orang boleh kena renjatan elektrik dan pintu lif akan tersekat dan tak boleh buka sekiranya ada litar pintas mangsa terperangkap dalam lif,” komen Bad.
“Pertama kali saya tengok air turun dari lif. Subang Parade tu kalau ikutkan susah nak banjir,” komen seorang pengguna.
“Bangunan ini sudah berusia 35 tahun, banyak yang sudah rosak dan kebocoran. Harus diperbaiki dengan segera,” komen April pula.
Terdahulu pusat beli-belah di daerah ini antara yang terkesan dengan banjir kilat susulan hujan lebat berterusan, petang kelmarin.
Bukan sahaja di kawasan dalam pusat membeli belah, malah kawasan tempat letak kereta juga turut dilihat dimasuki air. –CARI
Sumber: Kosmo |
|