|
Seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berkongsi cara untuk mendapatkan bahagian ayam goreng yang digemari melalui aplikasi penghantar makanan.
Pelajar berkenaan meninggalkan permintaan khusus yang dilihat lucu dan pada sama menyentuh hati.
Menerusi video itu, pelajar tersebut menunjukkan resit yang tertera mesej pesanan mereka bersama makanan yang sudah diterima.
Gambar Hiasan
"Kalau boleh saya nak ayam bahagian besar sebab kami student, nak jimat tapi nak kenyang," tulis pelajar tersebut untuk permintaan set nasi kari ayam.
Permintaan kedua pula menyatakan mereka mahukan ayam goreng bahagian dada.
"Ayam nak bahagian dada please?," rayu pelajar itu.
Manakala permintaan seterusnya adalah yang paling menyentuh perasaan apabila pelajar tersebut bermain sentimen dia merupakan anak yatim demi meminta ayam goreng bersaiz besar.
"Akak atau abang, kalau boleh saya nak ayam saiz besar, saya ni anak yatim, boleh la akak dan abang," ujarnya.
Membuka kotak makanan yang diterima, pelajar itu bersyukur kerana permintaan mereka berjaya dipenuhi.
"Terima kasih la ya abang dan kakak, semoga murah rezeki," kata pelajar itu bersyukur.
Pelajar itu seterusnya menjelaskan mereka menggunakan lebihan wang untuk membeli ayam goreng tersebut yang dianggap sebagai jamuan mewah secara berkala.
"Bukan selalu kami dapat nikmati makanan segera, cuma kalau ada duit lebih baru dapat merasa. Kalau tak, hadap makanan kafeteria atau mi segera.
"Kami order ni kumpul semua sekali, sebab IPT kami ni dalam kampung dan agak jauh nak ke pekan. Kalau keluar pergi beli lagi mahal, jadi baik delivery," jelas pelajar berkenaan.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya tertarik dengan cubaan pelajar tersebut untuk mendapatkan bahagian ayam yang dikehendaki.
"Wah... dia terus guna kelebihan anak yatim, pekerja restoran tu boleh rasa bersalah kalau tak bagi bahagian ayam yang diminta.
"Mungkin sudah tiba masa untuk aku gunakan teknik ini, aku pernah order minta paha, dia bagi dada. Dah la masa tu aku memang tak ada duit, down aku seharian," kata sebahagian warga maya. -CARI
Sumber: mStar |
|