Georgetown: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pulau Pinang mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Sungai Ara
dirotan guru, sehingga mengalami pendarahan pada mata kanan.
Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, pada masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung insiden itu termasuk mendapatkan maklumat terperinci daripada sekolah berkenaan.
"Kita sedang menunggu laporan penuh daripada pihak sekolah dan menjangka ia akan diperoleh Isnin ini. Namun, JPN berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik.
"Kita ada Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menjalankan siasatan dan buat masa ini, saya tidak boleh komen lanjut kerana siasatan masih dijalankan," katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai pelajar lelaki itu yang mendakwa dirotan guru sehingga mengalami pendarahan pada mata kanan, dalam kejadian Khamis lalu.
Bapa mangsa, Mazni Mohamad mendakwa anaknya dirotan selepas dikesan menghisap vape dalam kelas ketika sesi pembelajaran Sains sedang berlangsung.
Pelajar berkenaan kini dilapor berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HPP.