|
NAMA Klopp disebut sebagai pengemudi skuad kebangsaan Jerman selepas Flick dipecat. FOTO REUTERS
London: Jurgen Klopp kini dalam radar Jerman menjelang Euro 2024 selepas mereka memecat Hansi Flick sebagai pengendali pasukan itu, Ahad lalu.
Bagaimanapun, pengendali Liverpool itu kekal komited dengan kelabnya dan akan menghabiskan kontraknya di Anfield sebelum memikirkan untuk mengambil alih pasukan kebangsaan negara asalnya.
Jerman dibelasah 1-4 oleh Jepun yang diterajui pemain tengah Liverpool, Wataru Endo dalam aksi persahabatan Sabtu lalu, dan bekas pengendali Bayern Munich, Flick dipecat serta-merta.
Nama Klopp mula menjadi sebutan sebagai pengganti, selain bekas pengendali Bayern, Julian Nagelsmann dan Oliver Glasner yang menyerlah di Eintracht Frankfurt dan Wolfsburg.
Rudi Voller kini bertindak sebagai pengendali sementara Jerman.
Walaupun Klopp tidak mengetepikan kemungkinan akan menerima tugas itu pada masa akan datang, dia dijangka kekal bersama Liverpool sehingga kontraknya tamat, tiga tahun lagi.
Laporan di Jerman mengatakan badan induk bola sepak negara itu akan cuba mendapatkan Klopp di akhir musim ini, tetapi Nagelsmann, yang masih mempunyai kontrak bersama Bayern, dilihat sebagai pilihan utama.
"Jawatan sebagai pengendali pasukan kebangsaan adalah satu penghargaan besar. Masalah besar yang menjadi penghalang ialah kesetiaan saya.
"Ia tugas yang menarik, tetapi saya belum pasti sama ada akan melakukan perkara lain sebaik meninggalkan Liverpool," kata Klopp.
Bekas kapten Jerman, Lothar Matthaus berkata: "Apabila bercakap mengenai calon sesuai, hanya ada seorang individu yang semua orang mahukan - Jurgen Klopp.
"Dia sangat berjaya, mempunyai personaliti yang bagus dan disukai peminat serta media."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... gai-pengganti-flick |
|