|
KEMAMAN – Kehidupan ribuan penduduk Felda Neram II bertukar ‘huru-hara’ ekoran kehadiran gajah liar yang mengganas dengan menceroboh penempatan mereka.
Dua ekor gajah dari hutan berhampiran merosakkan pokok pisang, ubi kayu dan kelapa yang ditanam penduduk berdekatan kediaman dalam kejadian pada Jumaat lalu pukul 3.30 pagi.
Seorang penduduk, Shahrul Anuar Osman, 33, berkata, dia terbangun daripada tidur apabila mendengar bunyi bising di belakang rumahnya.
Foto: Kosmo
“Sebaik membuka pintu, saya terkejut melihat seekor gajah sedang makan pokok-pokok pisang yang terletak hanya kira-kira 30 meter dari rumah.
“Saya cemas dan takut kerana bimbang gajah tersebut menyerang saya ekoran terlalu hampir dengan rumah kami,” katanya kepada Kosmo!
Tambahnya, sebelum ini belum pernah gajah memasuki penempatan penduduk, sebaliknya sekadar menceroboh ladang kelapa sawit yang diusahakan mereka.
Sementara itu, Dayang Yahya, 66, berkata, seekor gajah juga telah merosakkan pokok kelapa dan ubi kayu yang ditanamnya di belakang rumah.
“Kehadiran gajah itu hanya disedari apabila anak lelaki saya melihat keadaan di belakang rumah bersepah dengan daun dan batang pokok yang ditumbangkan haiwan liar tersebut.
“Ia membuatkan kami sekeluarga ketakutan tentang kemungkinan gajah tersebut akan kembali lagi selepas ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan di lokasi yang dikatakan telah diceroboh gajah.
Katanya, tindakan menghalau gajah akan diambil segera demi keselamatan penduduk. -CARI
Sumber: Kosmo |
|