|
Pemain Jerman, Ilkay Gundogan (kiri) dan pemain Jepun, Junya Ito dalam aksi persahabatan di Volkswagen Arena, Wolfsburg. - Foto AFP
DORTMUND: Ilkay Gundogan mendedahkan skuad Jerman tidak mempunyai keyakinan selepas kekalahan di tangan Jepun.
Jerman dibelasah 4-1 oleh Samurai Biru dengan gol-gol Junya Ito, Ayase Ueda, Takuma Asano dan Ao Tanaka mengatasi jaringan Leroy Sane.
Pengendali Jerman, Hansi Flick dipecat oleh pengarah kelab, Rudi Voller selepas hanya memenangi empat daripada 17 perlawanan.
Pemain tengah Barcelona dan kapten Jerman, Gundogan mengakui ada krisis keyakinan di dalam skuad kebangsaan itu.
"Sukar untuk diterima. Saya rasa satu-satunya perkara yang bagus ialah gol (Sane), kami bermain dengan rentak yang kami rancang, tetapi malangnya, kami terpaksa akui yang Jepun bertahan dan menyerang lebih baik berbanding kami.
"Kami tidak setanding dengan pasukan yang kami temui hari ini. Kami tidak cukup bagus. Itulah realitinya.
"Saya rasa ramai pemain-pemain kami sedang bertarung secara mental dengan diri masing-masing, tidak ada keyakinan, kurang persefahaman dalam membuat keputusan, dan perlawanan sebegini langsung tidak membantu.
"Jadi semua orang sedang bertarung dengan diri sendiri, ia menjadikan lebih sukar untuk memupuk semangat dan suasana.
"Di atas padang, kurangnya keyakinan akan menjadikan lebih sukar untuk mendapat keputusan," kata Gundogan.
Jerman akan bertemu naib juara Piala Dunia, Perancis dalam satu lagi aksi persahabatan di Dortmund esok. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... isis-dalaman-jerman |
|