|
Bekas teman wanita Antony, Gabriela Cavallin menggesa Manchester United menggantung pemain itu sementara siasatan dijalankan. - Foto AGENSI
MANCHESTER: Bekas teman wanita Antony, Gabriela Cavallin menggesa Manchester United menghukum pemain sayap itu seperti yang dilakukan ke atas Mason Greenwood.
Gabriela, salah seorang daripada tiga wanita yang membuat laporan ke atas pemain Brazil itu, mahu United melarang Antony daripada bermain sementara siasatan dijalankan.
"Antony perlu dilarang daripada bermain. Ia mengecewakan kerana dia masih dibenarkan bermain walaupun siasatan sedang berjalan.
"Saya kecewa dengan proses ini. Bagaimana dia masih boleh menjalani hidup seperti biasa? Dia perlu dikeluarkan," kata Gabriela.
Gabriela, 22, turut menuntut penjelasan daripada pengurusan United mengapa mereka mengambil masa tiga bulan untuk bertindak terhadap dakwaan serangan itu.
Kelab Liga Perdana Inggeris itu sebelum ini dikritik hebat kerana cara mereka mengendalikan kes berkaitan Mason Greenwood.
Gabriela mendakwa dia diserang empat kali oleh Antony, kali pertama ketika dia sedang mengandung semasa percutian di Brazil pada Jun 2022.
Pemain sayap Manchester United, Antony menafikan dakwaan oleh tiga orang wanita terhadapnya. - Foto AGENSI
Antony didakwa sekali lagi mengasarinya ketika berada di sebuah hotel di Manchester dengan menanduk dan menumbuknya sehingga merosakkan implan payudaranya.
Dia turut mendakwa Antony membaling gelas kaca kepadanya sehingga jari-jarinya luka.
Antony, yang membuat 31 penampilan untuk United sejak dakwaan berkenaan, menafikan semua pertuduhan ke atasnya.
Seorang lagi wanita, Rayssa de Freitas berkata dia terpaksa mendapatkan rawatan pada Mei tahun lalu selepas diserang oleh Antony dan seorang wanita di Sao Paulo.
Ingrid Lana, 33, pula mendakwa, Antony melakukan serangan seksual terhadapnya ketika dia sedang bercuti di England pada Oktober. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... ited-gantung-antony |
|