View: 2037|Reply: 0
|
[Pulau Pinang]
'Kerajaan disaran anjur seminar capai persefahaman antara parti politik' - Mufti Pulau Pinang
[Copy link]
|
|
Gambar fail - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor (kanan)
Georgetown: Kerajaan disaran menganjurkan seminar dalam mencari dan merungkai kaedah berkesan demi mencapai matlamat perpaduan atau sekurang-kurangnya merintis persefahaman antara pendukung serta penyokong parti-parti politik yang terdapat di negara ini.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor, berpandangan seminar seumpama itu wajar melibatkan pelbagai pihak termasuk pemimpin parti-parti politik, mufti, ulama, ahli akademik, tokoh masyarakat selain aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Utamakan maslahat lebih besar serta lebih menyeluruh, abaikan kepentingan kecil dan sempit dalam bingkai parti sendiri sahaja ini selari kaedah ilmu fiqh yang menetapkan bahawa kepentingan umum perlu didahulukan daripada kepentingan khusus.
"Nasib generasi baharu perlu diambil kira dalam membuat keputusan di samping kemajuan dan kemakmuran negara untuk kepentingan anak cucu kita pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Wan Salim turut bersetuju dengan Sidang Pengarang The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) siaran Jumaat lalu yang menyarankan usaha mendamaikan gabungan parti Kerajaan Perpaduan dan pembangkang melalui perjanjian persefahaman (MoU).
Saranan yang dikemukakan dalam ketiga-tiga akhbarnya, iaitu BH, New Straits Times (NST), Harian Metro (HM), masing-masing melalui Minda Pengarang, NST Leader serta Minda itu turut mencadangkan pelaksanaan MoU itu dinaungi Majlis Raja-Raja untuk menamatkan kekalutan politik termasuk manipulasi dan eksploitasi isu agama serta kaum.
Beliau menyifatkan saranan tersebut suatu idea yang baik daripada sudut teori dan tidak mustahil untuk direalisasikan meskipun usaha ke arah memeterai MoU berkenaan dan mendapatkan kata sepakat antara pihak terlibat dilihat bukan suatu perkara mudah.
"Memanglah matlamat sebuah parti adalah untuk menguasai tampuk pemerintahan, sebab dengan menjadi kerajaan akan membuka jalan ke arah pencapaian tujuan yang diperjuangkan.
"Begitupun jika semua pimpinan parti ikhlas untuk mencari penyelesaian terhadap kemelut perpecahan dan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat yang menyeluruh, maka kita yakin hasrat ini boleh direalisasikan dengan mudah," katanya.
Menurutnya, dalam usaha menyelesaikan apa jua kemelut memerlukan persefahaman dan tolak ansur daripada semua pihak disamping persetujuan tentang matlamat yang ingin dicapai tanpa mengorbankan prinsip yang diperjuangkan oleh parti masing-masing.
Beliau berpendapat setiap orang tentu bersetuju bahawa perpecahan dan perbalahan boleh diibaratkan seperti bakteria berbahaya yang mengundang penyakit kronik seterusnya merosakkan organ-organ yang diperlukan untuk kelangsungan hidup sebuah bangsa atau negara.
"Pimpinan semua parti perlu memberi fokus kepada aspek persamaan di samping cuba bertolak ansur tentang perkara-perkara yang diperselisihkan kita yakin aspek persamaan antara parti-parti di negara ini lebih banyak berbanding aspek yang berbeza.
"Maka untuk mencapai kedamaian dan perpaduan yang dikehendaki, semua pihak perlu mengutamakan kepentingan bangsa dan negara di atas kepentingan parti masing-masing," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ahaman-antara-parti |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|