CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1751|Reply: 0

[Kedah] 'Rezeki' jodoh sebelah rumah

[Copy link]
Post time 9-9-2023 01:56 PM | Show all posts |Read mode

Farhanah bersama suami dan ibu bapanya. FOTO Ihsan Farhanah Tajuddin

Jitra: "Rezeki saya dapat jodoh sebelah rumah saja dan rumah mentua tak sampai seminit berjalan kaki dari rumah keluarga saya, malah ibu dan ibu mentua saya juga adalah sahabat baik," kata Farhanah Mohamad Tajuddin.

Farhanah, 25, mendapat perhatian di TikTok selepas, berkongsi kisah hidupnya yang bertemu jodoh dengan suami, Muhammad Asyraf Mazlan, 27, yang juga jiran sebelah rumahnya di Kampung Telok Mukim Binjal, di sini.

Wanita yang juga peniaga dalam talian itu berkongsi beberapa video mengenai kisah perkahwinannya sehingga ada videonya meraih empat juta tontonan dan menerima pelbagai reaksi netizen di akaun sosial itu.

Berkongsi kisahnya, Farhanah berkata, keluarganya berpindah ke rumah pusaka keluarganya ketika dia berusia 12 tahun dan ketika itu keluarga suami juga baru beberapa bulan berpindah ke rumah pusaka keluarga.

Menurutnya, biarpun tinggal berjiran hanya bersebelahan rumah saja, namun dia dan suami tidak berkawan kerana ketika itu Muhammad Asyraf sudah memasuki usia remaja sebelum akhirnya bersahabat melalui surat secara diam-diam.

"Kami tidak melalui zaman kanak-kanak bersama atau bermain pondok-pondok dan kahwin-kahwin seperti orang selalu teka, malah biarpun satu kampung kami bersekolah di sekolah berlainan.

"Cuma suami memang akan melalui depan rumah saya untuk pulang ke rumahnya kerana itu saja jalan yang ada jadi selalulah 'curi-curi' pandang, sama juga dengan dia kalau saya keluar rumah sekejap.

"Kebetulan saya baik dengan sepupu perempuan suami dan kami pernah juga beberapa kali bersembang, malah setiap kali raya akan beraya di rumah masing-masing dan selepas saya belajar di sekolah berasrama ketika tingkatan satu kami mula terputus hubungan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mereka kembali berhubung apabila Muhammad Asyraf menyertai perlawanan bola sepak di sekolahnya namun ketika itu masih berkawan biasa sebelum hubungan mereka semakin ke arah serius pada 2021.

"Kami kemudiannya berkahwin pada 13 Januari tahun lalu dengan izin keluarga dan kami mengadakan satu majlis saja iaitu hiasan pelamin diletakkan di rumah saya, manakala jamuan makan pula di rumah suami.

"Walaupun tak jauh dan sebelah rumah saja, penat juga berulang alik dua rumah untuk bergambar di pelamin dan berjumpa saudara-mara di jamuan makan tetapi kami tetap rasa gembira, malah ia pengalaman tidak dilupakan," katanya.

Menurut Farhanah, mereka bukan saja menjimatkan belanja kenduri yang besar, malah kelebihan bertemu jodoh dengan jiran sebelah rumah memudahkan mereka meluangkan masa bersama kedua-dua keluarga dengan lebih kerap selain tiada konflik pulang beraya.

"Sekarang kami tinggal di rumah keluarga saya tetapi setiap hari akan pergi ke rumah mentua. Kadang-kadang setiap petang ibu mentua akan datang bersembang di rumah saya selepas pulang kerja kerana dia dan ibu saya memang rapat.

"Bagaimanapun saya faham situasi seperti ini tidak mustahil boleh timbul konflik sebab kita duduk berjiran dan keluarga juga rapat tetapi kami belajar tak mengadu masalah dengan keluarga serta menyelesaikannya sendiri dengan baik," katanya.

Berhubung videonya yang mendapat perhatian di TikTok, Farhanah berkata, dia hanya mahu menyimpan kenangan dan tidak menyangka ia akan mendapat perhatian ramai serta menerima pelbagai komen positif, lucu dan mendoakannya.

Katanya, di sebalik komen positif terselit juga yang negatif namun dia hanya mengabaikannya kerana mereka menerima lebih banyak sokongan positif netizen yang sangat dihargai.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... jodoh-sebelah-rumah

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-2-2025 11:41 PM GMT+8 , Processed in 0.055967 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list