|
Firdaus Irman sedia kawal gawang NSFC
FIRDAUS Irman sedia terus kawal gawang NSFC. FOTO FB NSFC
Seremban: Selepas diberikan tugas selaku penjaga gol utama Negeri Sembilan FC (NSFC) bermula 14 Ogos lalu, Mohammad Firdaus Irman Mohd Fadhil dilihat semakin yakin dengan tahap prestasinya.
Malah, pemain muda berusia 22 tahun itu sudah bersedia untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik termasuk berdepan menghadapi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 13 September ini.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengakui, ia adalah perlawanan yang ditunggu-tunggu kerana pertama kali akan beraksi berdepan skuad Harimau Selatan, musim ini.
"Jika ketua jurulatih K Devan memutuskan saya sebagai penjaga gol pada perlawanan menentang JDT itu nanti, ia bermakna pertama kali saya berdepan dengan JDT dan saya bersedia melaksanakan tugas itu.
"Walaupun semua tahu JDT adalah pasukan mantap dan tugas serta tanggungjawab yang menanti amat mencabar, ia bukan halangan untuk saya memberikan persembahan terbaik.
"Saya perlu tampil dengan keyakinan diri tinggi dan saya yakin rakan sepasukan akan memberikan kerjasama baik sebagai satu pasukan," katanya.
Firdaus Irman mula mendapat kepercayaan Devan bagi menjaga gawang skuad Hobin Jang Hobin pada perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di gelanggang lawan, 14 Ogos lalu, selepas penjaga gol sebelum ini, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, direhatkan.
Walaupun NSFC tewas 0-4 pada perlawanan itu, ia memberi pengalaman berharga buat pemain muda berkenaan untuk terus berusaha meningkatkan lagi tahap prestasinya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... a-kawal-gawang-nsfc
|
|