|
DAMOK gagal tamatkan perlumbaan GP British di Litar Silverstone, semalam.
Kuala Lumpur: Selepas gagal menamatkan perlumbaan di Grand Prix (GP) British, semalam, pelumba Moto 3 negara, Syarifuddin Azman akan berusaha keras mencari keserasian dengan jenteranya dengan terus berkampung di Litar Silverstone untuk sesi ujian rasmi, bermula hari ini.
Menurut pelumba yang terkenal dengan gelaran 'Damok' itu, dia masih bersemangat untuk mendapatkan keserasian bersama jentera Moto3 walaupun berdepan masalah, semalam.
Syarifuddin akan menggunakan sesi ujian di Silverstone bersama pasukan MT-Helmets Msi untuk mendapatkan keyakinannya semula bersama pasukan selepas mengalami retak tulang rusuk akibat kemalangan di GP Itali pada Jun lalu.
"Terima kasih kepada semua peminat dan pasukan saya. Sentiasa menyokong dan beri kata-kata semangat kepada saya terutama kepada pasukan saya kerana bertungkus lumus menambah baik jentera saya.
"Saya sedikit kecewa kerana 'gear lever' saya patah, semalam. Tapi apapun, saya tetap bermotivasi untuk perlumbaan seterusnya.
"Esok (hari ini) saya ada sesi ujian di sini dan kami ingin mencari pelarasan yang lebih baik untuk perbaiki diri saya," katanya.
Syarifuddin ketika ini sudah mengumpul lima mata untuk berada di kedudukan ke-24 daripada 29 pelumba, hasil menerusi penamat di tempat ke-11 di GP Argentina awal April lalu.
Pelumba dari Red Bull KTM Tech3, Daniel Holgado mendahului carta kedudukan Moto3 dengan mengumpul 141 mata, manakala pelumba Jepun, Ayumu Sasaki dari pasukan Liqui Moly Husqvarna Intact GP tempat kedua dengan mengumpul 119 mata.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... tamatkan-perlumbaan |
|