|
RNF berjaya mempamerkan prestasi terbaik musim ini sehingga berjaya meyakinkan Aprilia untuk terus memberikan sokongan teknikal. - FB CRYPTODATA RNF MOTOGP TEAM
BERIKUTAN persembahan memberangsangkan dipamer, CryptoDATA RNF MotoGP Team terus mendapat sokongan padu daripada pengeluar motosikal Itali, Aprilia apabila dibekalkan dua jurutera khas untuk membangunkan jentera RS-GP pada perlumbaan musim ini.
Ketua Pasukan RNF, Datuk Razlan Razali berkata, sokongan itu tidak pernah diperolehnya sebelum ini bersama Yamaha dan berbangga dengan komitmen yang diberikan pasukan pengeluar itu kepada mereka.
Katanya, selain bertanggungjawab mengenai pelarasan kotak gear, klac, brake, pihaknya juga turut dibantu jurutera prestasi untuk membantu RNF kepada peningkatan jentera RS-GP musim ini.
“Minggu lepas saya bermesyuarat dengan Aprilia dan mereka menilai prestasi pasukan RNF dari pusingan 1 hingga 8. Aprilia Racing mereka gembira dengan kita punya struktur sebagai pasukan satelit.
“Untuk menunjukkan satu kerjasama yang kuat RNF dan Aprilia, mereka memberi kita sokongan teknikal dengan seorang mekanik khas untuk melihat kepada kotak gear, klac, dan brek. Lebih menarik seorang jurutera khas turut bersama kita.
“Mereka tahu bahawa Miguel Oliveira adalah seorang pelumba yang kompetitif dan sebab itu mereka serius untuk membangunkan jentera RS-GP,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Razlan turut menambah bahawa bantuan itu akan bermula di Grand Prix (GP) British hingga penghujung musim dan berharap bantuan itu dapat memberi nilai tambah terutama memburu podium pertama musim ini.
“Bantuan teknikal ini akan membantu kita menjelang perlumbaan GP British pada hujung minggu ini dan saya harap bantuan yang diberikan Aprilia ini dapat membantu kita memulihkan keputusan lebih baik sehingga penghujung musim,” ujarnya.
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... utera-khas-aprilia/ |
|