|
MASA depan Mbappe cetus persoalan. FOTO AFP
Paris: Juara Perancis Paris Saint-Germain (PSG) tidak menyenaraikan Kylian Mbappe dalam skuad untuk jelajah pramusim ke Jepun, sekali gus menimbulkan lagi persoalan terhadap masa depan penyerang berstatus bintang itu.
PSG tidak memberi alasan mengapa tidak menyenaraikan nama kapten Perancis itu.
Skuad terdiri daripada 29 pemain itu turut merangkumi adik Mbappe, Ethan Mbappe yang berusia 16 tahun serta seorang lagi pemain berstatus bintang, Neymar.
Mbappe terbabit dalam persiapan pramusim dan beraksi pada 30 minit terakhir ketika PSG melayan kunjungan Le Havre dalam perlawanan persahabatan di padang latihan sebelum ini dan meledak gol.
Mbappe pada Mei lalu mengisytiharkan bahawa dia tidak akan melanjutkan kontrak bersama PSG, yang akan berakhir tahun depan, tetapi menunjukkan minat mahu kekal di kelab itu bagi musim terakhir.
"Saya masih mempunyai baki setahun dalam kontrak saya dan akan menghormati kontrak itu," katanya ketika itu,
Situasi berkenaan membolehkannya menjadi ejen bebas pada musim panas seterusnya sekali gus meninggalkan PSG secara percuma.
Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi dalam reaksi balasnya awal bulan ini menyatakan bahawa Mbappe mesti menandatangani kontrak baharu.
"Kami tidak boleh membiarkan pemain terbaik dunia ketika ini meninggalkan kelab secara percuma. Ia mustahil," kata Khelaifi.
Jelajah Asia menyaksikan PSG akan menentang kelab Cristiano Ronaldo, Al Nassr dari Arab Saudi di Osaka pada 25 Julai.
PSG kemudian akan menentang Cerezo Osaka, juga di Osaka dan Inter Milan di Tokyo sebelum menamatkan siri jelajah di Busan, Korea Selatan dengan menentang Jeonbuk Motors pada 3 Ogos.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... g-sisih-nama-mbappe |
|
|
|
|
|
|
| |
|