|
Pelakon veteran Indonesia, Pierre Gruno bakal berdepan hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan mengasari seorang lelaki.
Perkara itu dimaklumkan oleh wakil polis daerah Jakarta Selatan iaitu Irwandhy Idrus selepas selesai sesi soal siasat membabitkan bintang berusia 65 tahun itu, baru-baru ini.
"Ketika ini kami sudah tetapkan Pierre Gruno sebagai tertuduh. Dia berdepan hukuman penjara lima tahun," jelasnya seperti yang dipetik dari portal berita Suara.
Pelakon filem The Raid ini terdahulu disoal siasat selama lebih lima jam di balai berkenaan.
Dalam kejadian yang berlaku pada 30 Jun lalu, Pierre dikatakan bertindak kasar terhadap seorang individu di sebuah bar di Jakarta.
Tindakan Pierre itu berlaku kerana dia merasakan kurang selesa apabila individu berkenaan memandang ke arahnya.
Menerusi laporan awal yang dibuat pada 1 Julai lalu, pihak berkuasa tidak menolak kejadian itu juga berpunca akibat pengaruh alkohol.
Sementara itu, peguam kepada Pierre menafikan dakwaan sikap panas baran pelakon itu meskipun dia cukup terkenal membawakan watak antagonis.
Sumber: mStar |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|