GEORGETOWN: DAP memutuskan untuk menamakan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal kedua, sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri apabila menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP yang bermesyuarat pada malam tadi, sebulat suara menamakan Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang.
Katanya, jawatankuasa itu diketuai beliau bersama empat orang daripada pucuk pimpinan, termasuk Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, Timbalan Pengerusi DAP, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Miing dan Naib Pengerus DAP, Kulasegaran.
"Jawatankuasa sebulat suara menamakan Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal yang kedua.
"Keputusan telah dimaklumkan kepada perdana menteri dan beliau telah merestui keputusan itu kepada kami sebagai pengerusi Pakatan Harapan," kata Loke dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu menamatkan spekulasi, Kon Yeow akan digugurkan sebagai ketua menteri.
Sekurang-kurangnya lima nama sebelum ini jadi sebutan sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang, jika gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan negeri terbabit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Mereka yang disebut-sebut termasuk Loke, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang juga Timbalan Menteri Kewangan II; Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo; EXCO Pulau Pinang dan Jagdeep Singh Deo.
Loke berkata, dalam mesyuarat itu juga kepimpinan tertinggi DAP memutuskan untuk membuat pembaharuan besar dalam barisan EXCO Kerajaan Negeri yang mewakili DAP.
"Proses pembaharuan ini adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin Pulau Pinang ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam PRN kali ini akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya pada minggu hadapan.
"Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum Hari Penamaan Calon," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DAP menyandang 19 kerusi DUN di Pulau Pinang, diikuti rakan komponen dalam PH, iaitu PKR dengan 14 kerusi dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan dua kerusi, sama dengan BERSATU ketika masih bersama PH.
Barisan Nasional (BN) pula menyandang dua kerusi, kedua-duanya melalui UMNO, manakala PAS menang hanya satu kerusi.