BUTTERWORTH: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat dakwaan dakwaan yang tular berhubung kejadian murid sebuah sekolah di Pantai Timur yang terganggu emosi hingga tidak mahu ke sekolah kerana digigit seorang guru.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, berkata KPM sudah mengenalpasti hantaran yang dimuat naik mendakwa insiden itu di media sosial dan kini sedang mengambil tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, KPM memandang serius dakwaan dan kejadian itu kerana perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.
"Kita akan jalankan siasatan lanjut dan jika ada kes sebegitu (murid digigit guru) tindakan sewajarnya akan diambil.
"Dalam hal ini, KPM tidak pernah membenarkan ia berlaku dan sentiasa mengambil langkah pencegahan untuk memberi kesedaran kepada murid serta pelajar.
"Ingin saya tegaskan bahawa KPM tidak sesekali berkompromi dalam apa jua isu," katanya ketika ditemui media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya, di sini, hari ini.
Hui Ying diminta mengulas dakwaan seorang ibu bahawa anak lelakinya berusia enam tahun digigit seorang guru hingga menyebabkan mental murid itu terganggu.
Dalam hantaran itu, ibu murid terbabit hairan selepas anaknya sering bertanya soal cuti sekolah dan tidak ceria seperti selalu.
Pada mulanya, ibu kanak-kanak itu beranggapan bahawa anaknya menjadi mangsa buli sehingga akhirnya terbongkar kisah bahawa anaknya digigit seorang guru lelaki hingga takut untuk ke sekolah.
Dakwanya, bukan anak lelakinya sahaja menjadi mangsa tetapi kejadian itu turut berlaku terhadap beberapa murid lain apabila guru berkenaan menggigit bahagian tidak sepatutnya iaitu mulut, tangan dan telinga.
Sementara itu, Hui Ying berkata, KPM turut tidak berkompromi terhadap dakwaan berlaku elemen buli terhadap seorang pelajar yang mencekik adiknya sehingga mati dalam kejadian di Melaka, baru-baru ini.
"Kes ini dalam siasatan pihak polis dan kita juga (KPM) turut menjalankan siasatan sewajarnya terhadap dakwaan buli itu
"Semua ini (buli dan keganasan) kita tidak pernah berkompromi yang kita sekarang menunggu keputusan untuk mengambil tindakan lanjut," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hui Ying turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk naik taraf dan penyelenggaraan sekolah terbabit.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, yang turut menyumbangkan RM200,000 bagi pemasangan alat pendingin hawa di bilik guru sekolah itu.