|
MARQUEZ dikaitkan dengan spekulasi untuk meninggalkan Honda selepas pasukan itu terus gagal menghasilkan jentera kompetitif. – AFP
LONDON – Biarpun saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) berehat bagi cuti musim panas, namun perbincangan masa depan Marc Marquez bersama pasukan Repsol Honda tetap diteruskan.
Ketika ini, pasukan dari Jepun itu berdepan krisis prestasi apabila Marquez masih belum mampu melakar kemenangan ketika perlumbaan sudah memasuki pusingan kelapan.
Kehampaan Marquez bertambah apabila dia dilihat bergelut dengan jentera buatan Jepun sekaligus timbul spekulasi bahawa juara dunia MotoGP itu bakal meninggalkan pasukan kendalian Alberto Puig.
Presiden HRC, Koji Watanabe mempunyai jawapan berbeza apabila mengakui mereka tidak mampu menghalang sekiranya Marquez berkeras meninggalkan mereka.
“Sudah tentu kami mahu mengekalkannya. Tetapi, pada akhirnya, dia (Marquez) yang akan membuat keputusan.
“Jika dia memutuskan untuk pergi, kami tidak akan menahannya. Ketika ini, apa yang perlu kami lakukan adalah perlu menunjukkan kepadanya sesuatu yang meyakinkannya untuk kekal,” kata Watanabe.
Sejak musim lalu, pasukan Repsol Honda terus bergerak ke hadapan untuk membangunkan jentera RC213V mereka selepas kerjasama rapat dengan pasukan yang membangunkan jentera perlumbaan empat roda.
“Kami perlu menambah baik casis, aerodinamik dan enjin dan kami mahu lakukan ini dengan turut menggabungkan teknologi empat roda.
“Kami menyedari bahawa ia akan mengambil masa untuk Honda pulih sepenuhnya daripada krisis ketika ini,” ujarnya.
– AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/07 ... g-kehendak-marquez/ |
|