|
VERSTAPPEN bersama rakan sepasukannya menjelang GP British. FOTO REUTERS
Silverstone: Juara dunia berganda Formula Satu (F1), Max Verstappen mengeluh kerana perlu mengharungi 24 pusingan perlumbaan pada musim depan.
F1 menerusi kalendar terbaharunya menyaksikan 24 perlumbaan perlu diharungi setiap pemandu pada musim depan bermula dari awal Mac hingga Disember dan berakhir dengan tiga perlumbaan berturut-turut pada hujung minggu.
"Ia terlalu banyak untuk saya, tetapi kami perlu menanganinya," kata Verstappen kepada pemberita di Grand Prix (GP) Britain di mana dia sedang memburu rekod meraih kemenangan ke-11 berturut-turut untuk pasukannya.
"Saya fikir sekurang-kurangnya perancangan itu perlu lebih logik. Saya rasa itu lebih baik untuk semua orang.
"Lebih banyak perkara perlu saya fikirkan jika terus beraksi dalam tempoh lebih lama. Perkara seperti ini pasti tidak membantu."
Verstappen, yang mempunyai kontrak hingga akhir 2028 dan sudah beraksi 172 perlumbaan sejak penampilan sulungnya pada 2015, mendahului 81 mata berbanding rakan sepasukan Mexico, Sergio Perez dalam kejuaraan pemandu.
Selepas sembilan perlumbaan, Verstappen sudah memenangi tujuh daripadanya termasuk lima perlumbaan terakhir.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -perlumbaan-setahun |
|