|
DILANO van’t Hoff. FOTO Agensi
Brussels: Pemandu muda Belanda, Dilano van't Hoff maut dalam kemalangan semasa perlumbaan Formula Regional European Championship yang berlangsung ketika hujan di Litar Spa-Francorchamps Belgium, hari ini.
Pemandu berusia 18 tahun itu, yang memenangi kejuaraan F4 Sepanyol 2021, berlumba untuk pasukan Belanda, MP Motorsport.
"MP Motorsport berasa amat sedih untuk mengesahkan bahawa pemandu kami, Dilano van't Hoff telah meninggal dunia akibat kemalangan semasa perlumbaan kedua Formula Regional European Championship di Spa Francorchamps," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.
Perlumbaan yang berlangsung dalam litar basah itu adalah pada perlumbaan sokongan untuk perlumbaan 24 Hours Spa.
Pasukan dan pemandu Formula Dua (F2) yang beraksi di Grand Prix Austria bertafakur selama seminit sebagai tanda penghormatan berikutan insiden itu.
"Dilano meninggal dunia ketika mengejar impiannya untuk mencapai kemuncak karier dalam sukan permotoran.
"Seluruh komuniti sukan permotoran, doa kami mengiringi keluarga dan orang tersayangnya," kata ketua eksekutif Formula Satu, Stefano Domenicali.
Pemandu Perancis, Anthoine Hubert meninggal dunia empat tahun lalu dalam perlumbaan F2 di Spa-Francorchamps.
Laporan media berkata van't Hoff terperangkap dalam perlanggaran dengan beberapa kereta.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... aut-ketika-berlumba |
|