KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengesahkan Larian Amal Taman Kinabalu buat pertama kali akan diadakan 11 November depan.
Menterinya Datuk Christina Liew berkata larian akan diadakan di tapak Warisan Dunia UNESCO larian terbabit adalah penganjuran pertama di Malaysia dan dalam Kinabalu UNESCO Geopark Global.
“Kementerian menyokong penuh larian ini disebabkan usaha murni pihak penganjur membantu Yayasan Starfish Malaysia dan Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu melalui program amal ini.
“Melalui sokongan orang ramai juga, kita yakin acara ini akan membawa perubahan terhadap kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik Sabah terutama di kawasan luar bandar.
“Usaha ini juga mampu menyediakan penjagaan paliatif yang penting kepada masyarakat yang memerlukan sokongan paliatif," katanya.
Beliau berkata demikian semasa diberi taklimat mengenai acara yang bertemakan ‘Run and Pave a Path for Hope’ itu daripada pihak penganjur, Ketua Pegawai Eksekutif Sutera Sanctuary Lodges (SSL) Ravi Kathiravelu dan Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim di pejabatnya di sini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Mary Malangking dan Pengerusi Larian Amal Taman Kinabalu 2023 Haron Aziz.
Christina berkata sasaran dana sebanyak RM400,000 yang akan dikumpul melalui hasil tajaan dan pendaftaran peserta akan digunakan untuk menyediakan sumber serta bantuan yang amat diperlukan kepada Yayasan Starfish Malaysia dan Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu.
Sementara itu dalam taklimatnya Kathiravelu berkata Larian Amal Taman Kinabalu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SSL.
"Objektifnya adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kawasan taman dan status Geopark Global UNESCO dalam kalangan masyarakat tempatan agar mereka memainkan peranan yang aktif untuk menyokong dan menyumbang kerjasama TTS dalam mempromosikan budaya dan aktiviti di Taman Kinabalu.
“Acara ini juga memberi impak dalam kehidupan jangka panjang kepada kehidupan ribuan kanak-kanak di Pitas dan Kudat yang menghadapi kesukaran hidup selain kekangan keperluan asas, pendidikan serta penjagaan kesihatan,” katanya.
TAKLIMAT: Christina bersama Maklarin dan Kathiravelu merakamkan gambar kenangan selepas taklimat terbabit.
|