View: 180|Reply: 0
|
Kemenangan ketiga terbesar dalam sejarah
[Copy link]
|
|
PEMAIN negara meraikan jaringan Faisal Halim ketika menentang Papua New Guinea. FOTO Ghazali Kori
Kuala Lumpur: Kemenangan besar skuad Harimau Malaya ke atas Papua New Guinea semalam dengan jaringan dua angka adalah yang ketiga dalam sejarah bola sepak negara di pentas antarabangsa sejak 1963.
Kejayaan membelasah Papua New Guinea menerusi keputusan 10-0 pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu itu, menyaksikan satu lagi catatan manis dilakar skuad kebangsaan.
Berdasarkan semakan, skuad Harimau Malaya pernah mencatat kemenangan dengan dua angka pada 1974 apabila pasukan negara membenam Filipina dengan 11-0.
Aksi berlangsung pada 7 September 1974 itu diadakan di Tehran, Iran dalam temasya Sukan Asia yang menyaksikan Malaysia memenangi pingat gangsa dalam acara bola sepak lelaki itu.
Malah, ia rekod kemenangan terbesar pasukan negara di pentas antarabangsa yang masih belum dipecahkan hingga kini.
Satu lagi kemenangan besar dua angka pada 15 Februari 1976, di mana skuad negara membelasah Papua New Guinea dengan 10-1 di pusingan kelayakan Sukan Olimpik 1976 di Jakarta, Indonesia.
Selain tiga kemenangan terbesar itu, skuad kebangsaan pernah mencatatkan sembilan gol dalam tiga aksi di peringkat antarabangsa.
Antaranya, kemenangan 9-0 ke atas Kemboja pada 1995 dalam Sukan Sea di Chiang Mai, Thailand, diikuti aksi dengan Macau pada 1993 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 1994.
Malaysia juga pernah membelasah pasukan Burma atau kini dikenali dengan Myanmar menerusi kemenangan 9-1 pada 1977 di saingan Sukan Sea pada waktu itu.
Begitupun di sebalik rekod cemerlang itu, Malaysia pernah dimalukan dengan jumlah bolos dua angka pada 2015 apabila dibelasah 0-10 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Kelayakan Piala Dunia 2018 di Dubai.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... besar-dalam-sejarah |
|
|
|
|
|
|
| |
|