Joshua (empat kanan) menyerahkan bendera kepada ketua Konvoi Gerald (tiga kiri) sebelum berlepas ke Kanowit pagi tadi.
SIBU: Peserta Konvoi Kembara Sarawak Merdeka sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Kemerdekaan Sarawak melengkap fasa akhirnya di Sibu Jaya pagi tadi sebelum meneruskan perjalanannya ke Kanowit.
Terdahulu, konvoi yang diketuai Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu tiba di Sibu Jaya sekitar jam 9 pagi.
Konvoi berkenaan disambut Ahli Majlis kepada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Joshua Ting yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing.
Seramai 140 peserta mengambil bahagian dalam konvoi berkenaan yang terdiri 21 buah kenderaan pacuan empat roda, 14 buah kenderaan agensi kerajaan, tiga buah kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dua buah lagi kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Konvoi Kembara Sarawak Merdeka telah berada di Sibu sejak Ahad.
Semasa berada di sini, konvoi berkenaan telah bergerak ke beberapa lokasi termasuk Pasar Sentral Sibu pasar raya Farley dan Pasar Tamu Sibu Jaya.
Hari ini, konvoi berkenaan meneruskan perjalanan ke Kanowit seterusnya ke Song dan berhenti di Kapit.
|