|
VERSTAPPEN dijangka tidak berdepan masalah untuk mengekalkan kejayaan hatrik sebagai juara dunia apabila mendominasi saingan musim ini. – AFP
LONDON – Bekas juara dunia Formula 1 (F1), Jenson Button mencabar pelumba utama pasukan Red Bull, Max Verstappen untuk keluar daripada saingan perlumbaan permotoran No. 1 dunia itu jika mahu dianggap sebagai pemandu terbaik era moden.
Sebagai rekod, Verstappen telah mempamerkan prestasi ampuh apabila berjaya meraih gelaran juara dunia buat kali kedua berturut-turut dan hampir pasti meraih kejayaan ‘hatrik’ apabila jauh mendahului saingan carta pelumba musim ini.
Menurut Button yang juga juara dunia edisi 2009, pelumba kelahiran Belanda itu perlu mencuba sesuatu yang baharu kerana banyak lagi perlumbaan kompetitif di dunia yang boleh disertai ketika ini.
“Semua orang tahu potensi dan bakat yang ada pada Verstappen kerana dia masih lagi muda, tetapi sudah berjaya menjuarai dua gelaran dunia F1. Namun, jika tanya saya, dia perlu keluar daripada F1 jika mahu dianggap antara pelumba terbaik sepanjang zaman.
“Secara tradisinya ini bukanlah perkara asing dan anda boleh lihat bagaimana Fernando Alonso buktikan kewibawaan di atas litar apabila dia berjaya mendominasi perlumbaan F1 pada awal karier.
“Kemudian, dia cuba untuk kembangkan karier dengan bersaing pada dua lagi kejohanan elit di Le Mans dan Daytona. Lebih membanggakan, dia berjaya menang kedua-dua perlumbaan itu.
“Kini, pada usia 40-an, dia kembali ke F1 dan masih berjaya berikan saingan kompetitif dan mungkin Verstappen boleh lakukan perkara sama,” katanya.
Verstappen yang baru berusia 24 tahun sebelum ini pernah mengakui sangat berminat untuk bersaing di Le Mans 24 Jam tetap tidak dapat membayangkan untuk terus bergelar pelumba profesional pada usia 40-an. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/06 ... abar-saingi-alonso/ |
|