|

NOTA dan sampul surat berisi RM300 yang diberikan Syed kepada Hazmie (gambar kanan). FOTO Ihsan Hazmie Faiz Razak
Kajang: "Bang, minta doakan saya dan isteri dapat zuriat," itu permintaan lelaki dikenali Syed yang ditulis di atas sekeping nota.
Nota itu diserahkan Syed kepada penghantar makanan, Hazmie Faiz Razak , 27, bersama sampul berisi wang.
Kisah itu tular selepas dikongsikan Hazmie Faiz menerusi hantaran di Facebook (Fb).
Berkongsi kisah itu, Hazmie Faiz yang menetap di Taman Mesra, di sini berkata, dia bertemu dengan pelanggan berkenaan kira-kira 11 malam semalam.
"Rumahnya terletak di sebuah flat dekat Bangi, Selangor dan sebaik tiba, saya macam berat hati nak naik ke atas kerana perlu panjat tangga sampai ke tingkat lima.
"Mengenangkan kerja dan kasihan dengan pelanggan, saya pun naik sampai ke atas.
"Sampai saja di tingkat lima, pelanggan itu sudah tunggu di hadapan rumahnya. Ingatkan dia nak marah saya tetapi terus hulurkan sampul sebaik saya serahkan makanan yang dipesan kepadanya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Hazmie Faiz, dia bertanya kepada pelanggan berkenaan mengenai sampul diterima namun diminta mengambilnya saja dan menerima ucapan terima kasih.
"Jadi, saya pun beredar kerana sudah terima pesanan lain. Sampai dekat vendor, baru saya teringat sampul diberi abang Syed dan terkejut apabila nampak ada duit berjumlah RM300.
"Bagi saya jumlah itu banyak kerana tak pernah terima tip sejak dua bulan jadi penghantar makanan dan dalam sampul itu juga ada satu kertas kecil.
"Hampir menitik air mata saya membaca nota itu kerana sebak dengan pesanan abang Syed yang minta saya mendoakannya mendapat zuriat," katanya.
Menurut Hazmie Faiz, dia mengerti perasaan Syed yang mungkin sudah lama menantikan cahaya mata.
"Mungkin abang Syed sudah lama berkahwin dan cuba bermacam cara untuk dapat zuriat tetapi belum rezekinya lagi.
"Jadi, sedekah itu mungkin salah satu caranya berikhtiar dengan harapan saya mendoakannya.
"Saya kongsikan kisah itu di Facebook (Fb) sekadar untuk ceritakan pengalaman dan banyak komen positif malah malah ada yang minta nama penuh abang Syed untuk mendoakannya di Tanah Suci.
"Cuma, saya tak sempat ambil nombor telefonnya dan agak ralat di situ tetapi berdoa semoga Allah makbulkan doa abang Syed dan orang lain yang mendoakannya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... isteri-dapat-zuriat |
|