|
CARLO Ancelotti pada sidang media. FOTO AFP
Madrid: Carlo Ancelotti menamatkan sebarang keraguan mengenai masa depannya apabila berkata beliau akan menghormati tahun terakhir kontraknya bersama Real Madrid ketika Brazil berminat mendapatkan khidmatnya.
Presiden FA Brazil (CBF), Ednaldo Rodrigues memberitahu Reuters pada Mac bahawa Ancelotti akan menjadi pilihan untuk mengisi jawatan yang kosong itu jika beliau tidak terikat dengan mana-mana pasukan.
Selepas kekalahan memalukan 0-4 Real Madrid kepada Manchester City di separuh akhir Liga Juara-Juara, timbul spekulasi berhubung masa depannya selepas Real juga gagal memenangi gelaran La Liga ketika seteru utama, Barcelona sudah mengesahkan kejuaraan.
"Setiap orang sangat tahu situasi saya yang masih terikat dengan kontrak sehingga hujung musim 2024 dan saya mahu kekal," kata Ancelotti pada sidang media yang jelas kurang senang apabila dikhabarkan Brazil berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Apabila seorang wartawan bertanya sama ada kelab sudah memberi jaminan kepadanya bahawa dia akan kekal, Ancelotti menjawab dengan tegas: "Ya!"
Real, bagaimanapun, belum membuat kenyataan rasmi berhubung masa depan Ancelotti.
Presiden Real, Florentino Perez memberikan jawapan yang tidak jelas apabila ditanya mengenai Ancelotti selepas kemenangan 2-1 Real dalam perlawanan akhir Copa del Rey.
Ancelotti pernah dipecat oleh Perez pada 2015, setahun selepas membimbing Real merangkul kejuaraan Piala Eropah ke-10.
"Ia boleh menjadi musim yang lebih baik, tetapi ia adalah musim yang bagus," kata Ancelotti ketika ditanya bagaimana beliau menilai kempen 2022-23.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -kekal-bimbing-real |
|