|
LAMPARD (kiri) akan buat perhitungan dengan Guardiola (kanan). -FOTO Reuters
London: Frank Lampard menggesa pemain Chelsea untuk belajar daripada apa yang ditunjukkan oleh Manchester City yang mengejar gelaran treble apabila pasukan itu bertemu di Etihad esok.
City akan mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan memenangi trofi pertama daripada tiga trofi yang mereka kejar musim ini jika berjaya menewaskan Chelsea dan boleh dinobatkan sebagai juara lebih awal namun bergantung kepada keputusan Arsenal hari ini.
Jika City merangkul kejuaraan, ia adalah gelaran kelima dalam enam musim buat skuad bimbingan Pep Guardiola dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
Mereka kemudiannya akan turun beraksi di final Liga Juara-Juara kedua dalam tempoh tiga tahun berdepan gergasi Itali, Inter Milan serta perlawanan akhir Piala FA menentang seteru tempatan Manchester United.
Prestasi cemerlang City berterusan apabila mereka membelasah juara Eropah, Real Madrid 4-0 Rabu lalu untuk melakar kemenangan ke-17 dalam 19 perlawanan terakhir mereka.
Chelsea, yang pernah menjadi pencabar trofi utama, kini tergelincir di tempat ke-11 walaupun pemilik bersama Todd Boehly membelanjakan kira-kira £600 juta (RM3.3 bilion) untuk perpindahan sepanjang 12 bulan lalu.
Pengurus sementara Chelsea, Lampard, yang mungkin digantikan oleh Mauricio Pochettino sekiranya bekas supremo Tottenham itu disahkan sebagai bos baharu The Blues, berkata pasukannya harus mengambil belajar daripada etika kerja City.
"Satu-satunya inspirasi yang perlu di belajar oleh pemain muda ialah apa yang City lakukan untuk mencapai tahap mereka sekarang ini," kata Lampard.
"Ia bukan masa untuk menjulang piala, ia adalah perjalanan Kevin De Bruyne, (Erling) Haaland, (Ilkay) Gundogan, dan John Stones."
Bekas pemain tengah Chelsea dan England itu menambah: "Seorang pemain perlu memahami bahawa detik-detik menjulang piala adalah disebabkan semua kerja yang dilakukan selama bertahun-tahun melawan sebarang kemungkinan yang datang dan sedar betapa sukarnya mereka bekerja.
"Pasukan itu jelas bekerja keras dan kemudian apabila seseorang terpaksa berhenti bekerja keras, yang seterusnya akan masuk dan bekerja keras. Itu yang pemain kena faham."
Lampard berkata dia menonton siri dokumentari The Last Dance, mengenai kejayaan pasukan NBA Chicago Bulls pada 1990-an, sebagai persediaan untuk perlawanan akhir Chelsea musim ini.
Pengurus sementara itu, yang akan meletak jawatan selepas perlawanan terakhir musim ini menentang Newcastle pada 28 Mei, berkata siri itu mempunyai beberapa pengajaran berharga untuk skuadnya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... a-belajar-dari-city |
|