LILONGWE, Malawi – Seorang bayi maut selepas bot yang membawa lebih 30 penduduk kampung merentasi Sungai Shire di daerah Nsanje, Malawi terbalik gara-gara diserang oleh seekor badak air.
CNN melaporkan, jurucakap polis, Agnes Zalakoma berkata, seramai 23 daripada 37 penumpang bot itu hilang dan dikhuatiri mati di dalam air yang dipenuhi dengan buaya serta badak.
Gambar Hiasan: Getty Images
“Beberapa penduduk berjaya menyelamatkan 13 orang manakala 23 yang lain hilang dan mayat seorang bayi telah ditemui,” kata Zalakoma dalam satu kenyataan sambil menambah, bayi yang meninggal dunia itu berusia setahun.
Tambah Zalakoma, pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang.
“Adalah terlalu berbahaya untuk menyeberangi sungai kerana ia terlalu cetek. Sungai ini mempunyai buaya dan badak yang kebanyakan masa menyerang orang ramai,” katanya.
Menurut wakil rakyat daerah Nsanje, Gladys Ganda, kesemua mangsa ketika itu sedang menyeberangi Sungai Shire untuk ke ladang mereka di sempadan Malawi dengan Mozambique apabila bot mereka dilanggar oleh badak tersebut. – CARI
Sumber: Kosmo |