|
Pertelingkahan antara Sadio Mane (kiri) dan Leroy Sane (kanan) akan menjadi tonik buat Bayern Munich untuk bangkit pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah bertemu Manchester City. - Foto AGENSI
MANCHESTER: Pep Guardiola bimbang pertelingkahan antara Sadio Mane dan Leroy Sane akan menjadi tonik buat Bayern Munich untuk bangkit pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah bertemu Manchester City.
City sudah selangkah di separuh akhir apabila mendahului 3-0 hasil kemenangan di Stadium Etihad, dengan Rodri, Bernardo Silva dan Erling Haaland menemui sasaran.
Selepas perlawanan itu, Mane menumbuk Sane di dalam bilik persalinan sehingga bekas pemain Liverpool itu digantung satu perlawanan serta didenda.
Pengendali City, Guardiola yang pernah membimbing Bayern sebelum ini, percaya insiden itu akan menjadikan kelab Bundesliga itu lebih bersemangat untuk bangkit.
"Sudah tentu, kadang-kadang anda memerlukan konflik untuk menjadikan pasukan lebih bersatu, saya amat pasti tentang itu.
"Ia bukan titik kelemahan, ia akan menjadi senjata mereka menentang kami. Saya cukup kenal kelab ini, saya dapat bayangkan situasi mereka berdepan City; kita bermain di sana, pemain-pemain akan melakukan yang terbaik.
"Bayern juga akan melakukan usaha terbaik mereka, tetapi saya pasti apa yang berlaku di sana.
"Sekiranya kami yang berada di kedudukan mereka, tewas 3-0 dan berlaku konflik dalaman, pasukan akan berkata ia ibarat final buat kami dan kami tahu apa yang perlu dilakukan," kata Guardiola. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... ebih-kuat-guardiola |
|