|
HAKIM kini berada di Sepanyol.
Kuala Lumpur: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Pepatah itu mungkin sesuai menggambarkan perasaan pelumba remaja negara Hakim Danish Ramli yang kini sedang menjalani ibadah puasa bersama rakan sepasukannya Danial Syahmi Ahmad Shahril di Sepanyol selepas terikat dengan komitmen perlumbaan Piala Red Bull Rookies 2023.
Menurut juara Kejohanan Asia Talent Cup 2022, meskipun tidak berdepan cabaran sukar berpuasa di luar negara, namun jauh dari sudut hati Hakim Danish dia merindui suasana menjalani ibadah di bumi Malaysia selepas kali terakhir berbuat demikian pada tiga tahun lepas.
"Ini merupakan kali ketiga saya berpuasa di luar negara. Bagi saya tidak ada banyak perbezaan atau cabaran apabila sama ada berpuasa di Malaysia atau luar negara.
"Kalau ada perbezaan mungkin dari segi makanan. Kalau di Malaysia bazar Ramadan menyediakan pelbagai juadah makanan, kalau di luar negara tidak ada.
"Kalau bab makanan paling saya rindu ketika bulan puasa sudah tentu makanan yang dimasak oleh ibu saya. Sebab sudah tiga tahun bila bulan puasa saya tidak dapat rasa masakannya atas komitmen saya sebagai pelumba," katanya.
Dalam pada itu Hakim Danish ketika ditanya berkenaan persiapannya menjelang pusingan kedua Piala Red Bull Rookies 2023 yang akan berlangsung di litar Jerez, Sepanyol pada 29 dan 30 April ini, pelumba berusia 15 tahun itu mengakui semuanya berjalan dengan baik.
Bagaimanapun ketika bulan puasa ini dia terpaksa mengubah sedikit regim latihan yang biasa dilakukannya supaya tidak mengganggu dirinya untuk menjalani ibadah terbabit.
"Pada bulan puasa ini saya tidak buat latihan yang berat seperti selalu dibuat sebelum ini. Untuk Ramadan ini saya buat yang ringan-ringan seperti main badminton. Setakat ini alhamdulillah puasa saya masih penuh dan belum tinggal lagi,"katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... akim-rindu-menu-ibu |
|
|
|
|
|
|
| |
|