|
Pelumba Rapsol Honda Team, Marc Marquez beraksi pada Sesi Ujian Pra Musim MotoGP 2023 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Pelumba Repsol Honda Marc Marquez masih menyesuaikan diri dengan jenteranya dalam misi merampas semula kejuaraan Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Juara enam kali MotoGP itu berkata pasukannya masih melakukan kerja-kerja penambahbaikan bagi meningkatkan prestasi motosikal itu sekali gus menjadikannya berkemampuan untuk meraih kemenangan.
Pelumba dari Sepanyol itu berkata prototaip RC213V 2023 itu, yang diujinya semalam pada hari pertama Ujian Musim Sejuk 2023, tidak jauh berbeza dengan motosikal yang diujinya pada Ujian Valencia, November tahun lepas.
"Sekarang, esok, dan hari seterusnya kami akan mula bekerja dan terutama di Partimao, sesuatu yang baharu akan sampai. Namun kami perlu terus bekerja di garaj kami, mencuba untuk mendapatkan lebih maklumat, menambah baik hingga sempurna kerana setakat ini kami masih jauh ketinggalan daripada pelumba teratas," katanya kepada media baru-baru ini.
Bagaimanapun, pelumba berusia 29 tahun itu berkata ia adalah permulaan pramusim yang baik, khususnya dari segi keadaan fizikalnya, jika dibandingkan dengan prestasi tahun lepas selepas beliau mengalami kecederaan tangan kanan pada 2020.
Semalam, Marquez berada di tempat kesembilan setelah menyempurnakan pusingan ke-23 dengan catatan satu minit 59.424 saat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, manakala hari ini, beliau terkeluar daripada senarai 10 pelumba teratas, iaitu di tangga ke-13, selepas melakukan sembilan pusingan dengan masa terbaik 1:59.450s. - BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan ... ngan-jentera-baharu |
|