CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 606|Reply: 0

Semulia-mulia amalan Mukmin

[Copy link]
Post time 30-12-2022 10:38 AM | Show all posts |Read mode
Semulia-mulia amalan Mukmin


Allah mengekalkan al-Quran agar manusia zaman-berzaman dapat bersua dengan pedoman-Nya.

al-Quran al-Karim anugerah khas Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Kitab suci ini menjadi satu-satunya mukjizat yang masih ada dan dijamin berkekalan hingga hari kiamat. Allah mengekalkan al-Quran agar manusia zaman-berzaman dapat bersua dengan pedoman-Nya. Dengan status ibu segala kitab samawi, al-Quran menjadi risalah agama paling lengkap, sarat dengan ilmu dan memuatkan pelbagai garis panduan bidang kemanusiaan. Jika manusia meninggalkan al-Quran, bererti manusia meninggalkan kebenaran.

Sebagai orang yang beriman, apakah kita mendekati al-Quran yang telah dianugerahkan? Jika kita belum mendekatinya, usahakan mendekatinya agar memperoleh lubuk pahala dan sumber rahmat yang sentiasa menguntungkan. Firman Allah SWT dalam ayat 29 Surah Fatir yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfakkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian."

Mendekati al-Quran adalah semulia-mulianya amalan. Proses mendekatinya dapat dilakukan seperti mempelajari dan mengajarkan al-Quran. Dalam Riwayat Imam al-Bukhari, terdapat hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya."

Bertitik tolak daripada langkah Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Khalifah Uthman bin Affan mengumpulkan al-Quran, kalimah suci itu mula berada di satu lembaran. Sebelum itu al-Quran berada di pelbagai perantaraan seperti pelepah kurma, kulit binatang dan batu serta tertumpu dalam ingatan sahabat. Mereka mengemas kini secara mutawatir (ramai saksi dan mustahil berdusta) dengan etika dan amanah berdasarkan pedoman Rasulullah SAW sebelum wafat. Kini umat Islam memiliki al-Quran yang sempurna, mudah dibaca dan mudah diamalkan. Hasil ijtihad penerbitan, wujud pelbagai versi al-Quran melibatkan ilmu tajwid, qiraat, tafsir dan sains al-Quran.

Mendekati al-Quran ini ibarat misi membina rumah. Sebelum membina rumah, perlu ada iltizam, kesediaan dan seterusnya persiapan. Tanpa keperluan ini, rumah tidak siap atau serba tidak menjadi. Langkah awal mendekati al-Quran ialah orang yang beriman wajib berkeyakinan bahawa al-Quran adalah satu-satunya wadah yang dapat menyumbang ketenangan berbandingan hiburan keduniaan.

Sebagai Muslim yang berakidah bersih, perlu sedia memahami bahawa al-Quran adalah kalam Ilahi yang bebas dan berlainan dengan kalam manusia. Al-Quran datang untuk memujuk jiwa insan agar berpaut kepada kebenaran Tuhan dan menggesa insan berpisah dengan jalan yang merosakkan kehidupan.

Muslim yang berakidah murni juga perlu menyedari bahawa menyukai al-Quran bukan sesuatu perkara yang sia-sia. Allah menyediakan pahala dan sebaik-baik balasan terhadap pendamping al-Quran. Berdasarkan Riwayat Sahih Bukhari, Muslim yang terbaik adalah yang mahu membaca al-Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah utrujah (limau), rasanya enak dan baunya wangi.

"Dan perumpamaan orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau."

Berbekalkan fahaman ini, kita akan bersemangat untuk hidup dan mati bersama al-Quran. Bukti awal ialah marilah kita aktif membaca al-Quran. Salaf al-soleh iaitu generasi ahli bait, sahabat dan tabiin amat sinonim dengan pembacaan aktif al-Quran. Mereka gemar menghafaz, membaca dan mendiskusikan al-Quran pada siang serta malam. Makkah dan Madinah serta pusat pemerintahan Islam yang lain menjadi 'bercahaya' dengan amalan soleh ini.

Jika kita tidak mampu membaca al-Quran dengan kuantiti yang banyak, bacalah dengan kuantiti yang sedikit. Dalam keterangan hadis Riwayat Imam Muslim, individu yang kurang mahir mendapat dua bahagian pahala berbanding individu yang mahir meraih satu bahagian pahala. Anugerah ini adalah suatu galakan. Menurut Imam al-Nawawi (wafat 676H), seseorang yang kurang mahir membaca al-Quran tetap meraih kelebihan daripada Allah SWT. Ia dihargai Tuhan kerana masih berusaha dan sudi menjenguk firman-Nya. Justeru, jangan kita 'lari' daripada al-Quran meskipun tidak tahu membacanya.

Kini al-Quran mempunyai terjemahan dalam pelbagai bahasa dunia. Gunakan kesempatan membaca terjemahan ayat selepas tamat membaca al-Quran. Dalam terbitan tempatan, antara kitab terjemahan yang dapat diambil ialah seperti Tafsir Pimpinan ar-Rahman. Kitab ini memuatkan terjemahan yang ringkas dan dekat kepada makna al-Quran dalam rangka Ahli Sunah Waljamaah.

Imam al-Suyuti (wafat 911H) menyebut dalam karyanya al-Itqan fi 'Ulum al-Qur'an, bahawa al-Quran mengandungi pelbagai makna dan huraian dalam sesuatu ayat. Ada ayat yang berbentuk umum, khusus, hukum hakam, takwil dan sebagainya. Untuk mendalami keadaan ayat maka memerlukan kepada bantuan ilmu tafsir serta pedoman alim ulama.

Masyarakat awam berpeluang menjenguk kepelbagaian makna al-Quran menerusi kitab tafsir seperti Jami' al-Bayan 'an Ta'wil Ay al-Qur'an, al-Jami' li Ahkam al-Qur'an, Mafatih al-Ghaib dan Tafsir al-Quran al-'Azim. Tafsir al-Qur'an al-'Azim atau dikenali sebagai Tafsir Ibn Kathir, susunan Imam Ismail bin Kathir (774H) adalah kitab tafsir aliran mat'hur yang paling banyak diterjemah dan dirujuk dunia Islam. Umumnya keseluruhan kitab ini bermanfaat dalam konteks perbahasan makna al-Quran.

Dalam hal membaca tafsir al-Quran, individu Muslim perlu merujuk kepada ilmuwan dalam perkara yang tidak difahami. Usah langsung membuat kesimpulan sendiri atau mengambil penjelasan daripada sumber internet yang samar. Ini kerana sebahagian ayat mengandungi khilaf pendapat dalam kalangan ahli akidah, fiqh dan tasawuf. Di samping usaha kendiri untuk meneliti karya tafsir, usaha mendekati al-Quran dapat dilakukan dengan mudah menerusi inisiatif menghadiri kuliah pengajian al-Quran.

Kuliah pengajian Quran seperti tafsir, tadabbur, tajwid dan taranum makin bertambah di persada tanah air. Ini suatu perkembangan yang baik. Manfaatkanlah menerusi usaha menghadirkan diri dengan ikhlas demi menambah ilmu wahyu.

Untuk akrab dengan al-Quran, menghafaz al-Quran adalah suatu usaha yang digalakkan dalam Islam. Sesetengah individu mampu menghafaz lagu, dialog dan petikan tertentu. Alangkah indahnya, usaha menghafaz al-Quran juga dilaksanakan. Melihat kepada teladan silam, Rasulullah SAW, ahli bait dan sahabat terdiri daripada insan penghafaz al-Quran. Mulia mereka ada kaitan dengan al-Quran.

Umat Islam di pelbagai peringkat sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa atau orang tua 'menyimpan' al-Quran dalam sanubari. Perbezaannya sedikit atau banyak. Setidak-tidaknya umat Islam menghafaz Surah al-Fatihah sebagai bekalan dalam solat. Ini membuktikan kemukjizatan al-Quran berbanding penghafalan kitab dalam ajaran lain. Usaha 'menyimpan' ayat di dalam sanubari menyebabkan kita berupaya membacanya dalam solat dan di luar solat.

Aktiviti inilah yang membezakan amalan orang beriman dengan orang yang tidak beriman. Sebahagian entiti musuh Islam dan orientalis mempunyai kemahiran hebat membaca serta menelaah makna al-Quran, tetapi mereka gagal beramal dan meredai usaha memartabatkan al-Quran. Contohnya usaha pembudayaan bacaan al-Quran di institusi masyarakat, hak Muslimah menutup aurat dan pemerkasaan syariat dalam undang-undang sering dihalang mereka meskipun mereka berpengetahuan tentang al-Quran.

Demi mendapatkan reda Allah, marilah kita selaku Muslim mendekati al-Quran dengan segala tuntutan. Berbekalkan kaedah asas ini, umat Islam boleh melakukannya secara berperingkat. Inilah kaedah yang sedia dimulakan alim ulama dan salaf al-saleh, al-Quran benar-benar dijiwai. Tiada erti putus, selagi ada kemahuan di situ ada jalan.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... mulia-amalan-mukmin

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 01:05 PM GMT+8 , Processed in 0.044114 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list