|
Johor Bahru: Lelaki yang bertindak seperti samseng jalan raya dengan mencederakan peniaga kerana tidak puas hati kereta bergesel di Kilometer 18, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, kelmarin, sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, suspek, 39, ditahan di Jalan Putih di sini, 4.50 petang, semalam hasil makluman orang awam.
"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya di sini, hari ini.
Semalam tular video sembilan saat membabitkan individu dipukul di tengah lebuh raya berkenaan.
Rupiah berkata, siasatan polis mendapati kejadian ini berlaku, 3.10 petang kelmarin, ketika mangsa, 57, memandu Mercedes-Benz dalam perjalanan dari Muar ke Bukit Indah.
"Ketika memandu di lorong tengah, tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja warna perak dipandu suspek lelaki tempatan yang memandu di lorong kanan telah mengubah haluan dan masuk di hadapan kereta mangsa.
"Tindakan itu menyebabkan kereta yang dipandu suspek dan mangsa bergesel sebelum masing-masing memberhentikan kenderaan di tepi jalan.
"Selepas itu berlaku pertengkaran mulut antara mereka, sehingga mencetuskan pergaduhan sebelum suspek menggunakan objek tumpul untuk mencederakan mangsa," katanya.
Kes disiasat mengikut Sekysen 343 Kanun Keseksaan dan Peraturan 6 (1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... jalan-sudah-ditahan |
|