CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 405|Reply: 0

[Johor] Wanita kaki tipu dipenjara lagi

[Copy link]
Post time 13-9-2022 04:14 PM | Show all posts |Read mode

Nurul Yasmin dihukum penjara 80 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah bagi lima pertuduhan menipu dalam penjualan barangan elektrik membabitkan jumlah RM5,235. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Johor Bahru: Seorang wanita dihukum penjara 80 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah bagi lima pertuduhan menipu dalam penjualan barangan elektrik membabitkan jumlah RM5,235, tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Yasmin Rosli, 33, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret R Salini.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menipu mangsa supaya mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan pelbagai barangan elektrik sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang keseluruhannya berjumlah RM5,235 melalui akaun bank miliknya dan ibunya, Melati Zainol.


Perbuatan itu dilakukan antara 16 Februari 2021 hingga 25 Jun 2021 di sekitar daerah ini dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman penjara dijalankan serentak dan memberitahu sudah berkahwin serta mempunyai seorang bayi berusia tujuh bulan.

"Saya mempunyai seorang bayi yang dilahirkan pada 26 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang dan suami kini tidak bekerja kerana perlu menjaga bayi," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad kemudian memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal ke atas tertuduh memandangkan perbuatan dilakukan wanita itu adalah kesalahan berulang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 bulan, 14 bulan, 16 bulan, 18 bulan dan 20 bulan bagi lima pertuduhan, namun memerintahkannya berjalan secara serentak bermula daripada tertuduh ditahan, 7 September 2021.

Sementara itu, mengikut fakta kes, semua mangsa diperdaya selepas menghubungi nombor telefon yang tertera di laman Instagram 'Beauty Saranghae' melalui WhatsApp sebelum tempahan dan pembayaran dibuat, namun tidak menerima sebarang barangan seperti ditawarkan.

Pada masa sama, tertuduh kini masih menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang bagi kes-kes penipuan dilakukannya terdahulu.

Pada 13 September 2021, tertuduh bersama ibunya, Melati pernah didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas beberapa pertuduhan menipu penjualan barang elektrik dan perkakas dapur yang tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM41,645.

Selain itu, pada 14 Ogos 2019, tertuduh juga pernah didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas empat pertuduhan menipu pakej umrah membabitkan kerugian sebanyak RM12,000 pada 2012 dan 2013.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... tipu-dipenjara-lagi
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-3-2025 06:35 AM GMT+8 , Processed in 0.617477 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list