|

Superintendan Hussin Zamora. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN/FOTO
Kota Tinggi: Dua beradik yang dilaporkan kritikal selepas turut terbabit dalam insiden seorang remaja lemas di pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar di sini, semalam, kini dipantau di dua hospital berbeza.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, seorang daripada mangsa masih dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT), manakala seorang lagi dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, malam tadi.
"Seorang mangsa yang juga kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipindahkan dari HKT ke HSI malam tadi dan kini dipantau di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), manakala seorang lagi masih di ICU, HKT.
"Kedua-dua mereka masih menerima rawatan dan pemantauan rapi pihak doktor," katanya pada kenyataan hari ini.
Pada kejadian semalam, dua beradik itu, Mohd Asyraf Syazwan Mohd Fairuz, 7, dan Nur Azrin Syazwani, 13, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sejurus anggota bomba tiba ke lokasi.
Usaha mendapatkan ulasan ibu mangsa tidak berjaya kerana enggan ditemubual.
Difahamkan, ibu dua beradik itu adalah individu yang menemani sekumpulan remaja di pantai berkenaan untuk beriadah dan bermandi-manda sebelum insiden lemas yang meragut nyawa seorang daripada mereka berlaku.
Semalam, tiga remaja, Siti Alesya Qistina Mustafa, Siti Nur Alysya Abdullah dan Nur Zurin Hafeeza Mohd Azhari yang semuanya berusia 13 tahun berjaya diselamatkan.
Sementara itu, Nurish Qhalisya Suhailizam, 13, pada mulanya dilaporkan hilang sebelum jasadnya ditemui jam 2.37 petang tersepit di celahan batu di pantai itu.
Hussin berkata, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa itu sudah selesai dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Sementara itu, ibu kepada Nurish Qhalisya, Radiah Rahmad ketika dihubungi memaklumkan, jenazah anak keenam daripada tujuh beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Waha di sini, jam 10.28 malam tadi.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... itikal-masih-di-icu |
|