|

SEKUMPULAN gajah berkeliaran di perumahan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Batu 2, Bukit Samsu, Kota Tinggi, Selasa lalu. GAMBAR ihsan penduduk
Kluang: Terdapat lebih 100 ekor gajah dikenal pasti hidup di negeri ini dan didapati habitatnya semakin mengecil hingga berlakunya konflik antara haiwan itu dengan manusia.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminudin Jamin berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengatasi konflik terbabit.
Menurutnya, pihaknya sedang melakukan kajian termasuk menggunakan khidmat dron bagi mengenal pasti punca habitat gajah yang semakin mengecil di negeri itu.
Katanya, pihaknya memahami keresahan masyarakat apabila ada laporan gajah tersesat dari kumpulan utamanya dan memasuki kawasan perumahan penduduk hingga merosakkan tanaman.
"Berhubung dengan video tular kehadiran gajah di daerah ini, ia sememangnya adalah laluan gajah menuju ke hutan simpan di Kahang.
"Namun ada laporan sebelum ini terdapat gajah sesat memasuki taman perumahan di sini, untuk kes itu gajah berkenaan sebenarnya terpisah dari kawanannya.
"Kami sentiasa membuat kawalan dan pemerhatian mengenai kehadiran gajah ini dan sedang bersama kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi isu ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas video yang tular di media sosial memaparkan lebih 50 ekor gajah muncul di Jalan Kahang Barat di sini.
Beliau berkata, habitat gajah berkenaan dikenal pasti berada di sekitar hutan Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
"Kumpulan gajah ini akan berlegar di laluannya termasuk hingga ke Taman Negara Endau-Mersing.
"Namun dalam laluan gajah ini mungkin terdapat gangguan-gangguan yang menyebabkannya tersasar dari kumpulan utamanya, dan inilah yang kita sedang kenal pasti," katanya.
Ketika ditanya mengenai bila laporan kajian boleh dibentangkan kepada kerajaan negeri dan tindakan penyelesaian boleh diambil, pihaknya berkata, pihaknya masih memantau dan menyiasat perkara berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... or-semakin-mengecil |
|