|
MUHAMMAD Rudi (tengah) bergambar bersama K Raven (empat dari kiri) dan Tian Soon (lima dari kanan) ketika Pelancaran Ekspo Pelancongan Welcome To Johor dan Promosi Johor-Batam di Nagoya Hill di sini, semalam. FOTO Izz Laily Hussein
Batam: Kerajaan Johor akan membantu menyelesaikan sebarang masalah membabitkan urusan di pintu masuk Malaysia menerusi jalan air terutamanya di Terminal Feri Stulang, Johor Bahru yang menjadi laluan menghubungkan Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia.
Isu menunggu lama ketika pemeriksaan imigresen di terminal itu antara yang dihadapi pengguna sama ada rakyat Indonesia atau Johor sebelum dapat berlepas ke destinasi di republik ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar berkata, kemungkinan isu timbul apabila operasi di terminal itu sudah dibuka sepenuhnya bermula semalam, namun pihaknya terlebih dulu akan menyiasat punca kepada masalah terbabit.
"Mengenai masalah pemeriksaan imigresen yang mengambil masa lama menyebabkan rakyat Indonesia mahu pun Johor yang ingin ke Batam atau Tanjung Pinang, kita akan lihat dulu di mana punca masalahnya.
"Saya dimaklumkan jika dulu hanya empat perjalanan feri saja yang beroperasi sehari, tetapi apabila ia mula beroperasi secara menyeluruh, tiba-tiba terdapat 26 perjalanan.
"Jadi mungkin berlaku sedikit kelewatan atau mungkin sistemnya. Kita akan berbincang dengan pihak imigresen untuk melihat apa punca sebenar masalah dihadapi," katanya selepas menghadiri Pelancaran Ekspo Pelancongan Welcome To Johor dan Promosi Johor-Batam yang dirasmikan Wali Kota Batam, Muhammad Rudi di Nagoya Hill di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.
Isu Imigresen itu turut disuarakan Muhammad Rudi yang berharap kerajaan Johor dan Batam dapat duduk berbincang menyelesaikan masalah berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima keluhan rakyat yang berdepan masalah menunggu terlalu lama sebelum dapat menaiki feri berlepas ke Batam, Indonesia.
"Kerajaan dua negeri dan kota ini perlu duduk bersama, bincang apa masalah di Johor dan apa masalah di Batam dan lihat apa pemasalahan terutamanya urusan di imigresen kerana ada banyak keluhan yang harus kita tangani segera jika ingin industri pelancongan ini hidup kembali," katanya.
Selain itu, Muhammad Rudi berharap Johor dan Batam dapat saling membangunkan semula ekonomi pasca pandemik.
Berhubung kerjasama itu, Raven Kumar berkata, tujuan ekspo pelancongan seumpama Promosi Johor-Batam itu juga bertujuan meningkatkan pelancongan kedua-dua negeri Johor dan kota Batam sendiri.
"Program ini akan menguntungkan negara dan negeri dan kita nampak respon yang baik daripada penduduk di Batam, Indonesia," katanya.
Turut diadakan pada majlis berkenaan ialah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Asosiasi Pariwisata Bahari Indoneisa (ASPABRI) dengan industri pelancongan Johor diwakili Tourism Johor.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rminal-feri-stulang |
|