CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 450|Reply: 0

[Johor] Ayam di JB 50 sen lebih mahal daripada harga siling kerana caj potong

[Copy link]
Post time 2-7-2022 10:38 AM | Show all posts |Read mode
Johor Bahru: Harga ayam segar di bandar raya ini dijual pada harga RM9.90 sekilogram, 50 sen melebihi daripada harga siling RM9.40 yang dikuatkuasakan mulai hari ini.

Tinjauan di pasar basah di Pandan di sini, mendapati harga ayam segar itu dijual dengan caj pemotongan 50 sen dikenakan.

Peniaga ayam segar, Hafizul Mohamad, 40, berkata, faktor kos bahan mentah serta operasi ditanggung peniaga yang masih tinggi menyebabkan caj pemotongan ayam 50 sen bagi setiap kilogram ayam segar terpaksa dikenakan terhadap pengguna.


Katanya, beliau berusaha sedaya upaya untuk mematuhi harga siling ayam segar yang ditetapkan namun terpaksa mengenakan caj pemotongan bagi menyerap kos bahan mentah dan operasi.

"Saya memang seboleh-bolehnya mahu mengikut harga siling RM9.40 sekilogram yang dikuatkuasakan mulai hari ini, namun pengiraan antara kos bahan mentah serta operasi yang ditanggung masih tinggi dan berada pada margin kerugian.

"Atas faktor itu, saya mengenakan caj pemotongan 50 sen menjadikan harga ayam segar RM9.90 setiap kilogram. Harga ayam ketika ini lebih murah berbanding bulan lalu kerana ketika itu ayam segar dijual RM12 sekilogram.

"Bagaimanapun, diakui, harga ayam kini sudah mulai turun berikutan bekalan ayam segar di negeri ini semakin stabil selepas larangan import ayam segar ke Singapura.

"Jika harga ayam segar kita terima pada harga lebih murah selepas ini, dengan bekalan yang stabil, sudah pasti peniaga dapat jual ikut harga siling," katanya ditemui.

Semalam, harga runcit ayam segar dilaporkan dibimbangi tidak dapat dijual pada harga siling baharu RM9.40 sekilogram di sesetengah kawasan hari ini, berikutan peruncit dijangka terus berhadapan bebanan kos.


Harga ayam segar di bandar raya ini dijual pada harga RM9.90 sekilogram (kg), 50 sen melebihi daripada harga siling RM9.40 yang dikuatkuasakan mulai hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor Lau Ka Leng dilaporkan berkata, perkara itu antara keluhan utama peruncit serta penjual ayam segar yang dinyatakan kepada pembekal.

Katanya, harga siling ayam sebenarnya perlu ditetapkan melebihi RM10 sekilogram bagi memberi ruang kelegaan kepada harga akhir yang akan dikenakan peruncit.

Sementara itu, pemborong ayam, Johnny Lee Kim Leong berkata, faktor dedak ayam dan kos operasi penternakan ayam yang kekal tinggi menyebabkan harga ayam segar sukar diturunkan pada paras lebih rendah.

Bagaimanapun, katanya, bekalan ayam segar yang mulai pulih diharapkan mampu menstabilkan harga bahan mentah itu supaya tidak terlalu tinggi selepas ini.

Bagi pengguna pula, walaupun harga siling ayam segar baharu dikuatkuasakan, ia disifatkan masih mahal dan membebankan.

Penyelia, Zazali Mohamed, 59, berkata, harga ayam diharap dapat diturunkan ke paras RM6 hingga RM7.50 seperti dahulu.

"Pengguna terbeban kerana hampir semua harga bahan mentah naik harga. Harga ayam segar RM9.40 sekilogram sebenarnya masih mahal walaupun tidak semahal bulan lalu dengan harga RM12.

"Pengguna tiada pilihan dan terpaksa beli juga kerana ayam adalah makanan kegemaran anak-anak berbanding ikan," katanya.

Pengusaha kantin sekolah, Norizam Shah Md Yunus, 46, berkata, dia terpaksa menyerap harga barangan mentah termasuk ayam segar yang tinggi kerana tidak boleh menaikkan harga makanan tanpa persetujuan sekolah.

"Harga masakan ayam, contohnya ayam goreng dijual masih sama iaitu RM2 seketul, tidak berubah sejak 2013.

"Dahulu harga ayam segar RM6 sekilogram, memang ada untung namun sekarang, pengusaha kantin perlu menyerap kos bahan mentah yang mahal dan lebih kreatif menyediakan menu supaya tidak rugi teruk," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... g-kerana-caj-potong
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-3-2025 06:35 PM GMT+8 , Processed in 0.972449 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list