|

Gambar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Suria 6, Bandar Seri Alam, Masai yang dimuatnaik oleh keluarga orang hilang di media sosial. FOTO Facebook
Johor Bahru: Polis menafikan dakwaan pembabitan dua pegawai kanannya dalam kes orang hilang yang didakwa berlaku di Jalan Suria 6, Bandar Seri Alam, Masai di sini, pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, menerusi suatu perkongsian di Facebook (FB) menggunakan akaun Sri Boss pada semalam mendakwa anggota polis menyembunyikan fakta berkaitan kehilangan K Thiagaraj, 47.
Menurutnya, perkongsian berkenaan juga merujuk kepada pautan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi seminit 52 saat yang didakwa sebagai tempat kejadian.
Katanya, pegawai penyiasat sudah menjalankan siasatan di tempat kejadian termasuk rakaman CCTV di beberapa premis di kawasan sekitar.
"Hasil siasatan tidak dapat mengenal pasti individu atau nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan oleh individu yang disyaki orang terakhir berhubung dengan orang hilang.
"Pada 5.30 petang hingga 6 petang 28 Januari 2022, polis menerima empat laporan berkaitan kes yang disiasat.
"Menerusi laporan polis berkenaan, dua pegawai kanan polis dan tiga orang awam didakwa terbabit dalam kes berkenaan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, dua pegawai kanan berkenaan pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sebelum lelaki berkenaan dikenakan tindakan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
Beliau berkata, kedua-dua pegawai berkenaan bagaimanapun menafikan dakwaan keluarga berkenaan.
Menurutnya, tiga lelaki dari Klang yang didakwa terbabit dalam kes berkenaan turut disiasat dan mendapati tidak pernah berhubung atau memiliki maklumat berkaitan orang hilang selepas lelaki berkenaan dikenakan LLPK.
"Sehingga kini, tiada laporan penemuan orang hilang berkenaan, manakala siasatan dan tindakan mengesannya masih dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mazli Samit di talian 010-9598898 atau 011-21775118," katanya.
Menerusi perkongsian di FB, ahli keluarga lelaki mendakwa tiada sebarang perkembangan berkaitan lelaki itu dalam tempoh masa tujuh bulan sejak kejadian berlaku.
Ahli keluarga lelaki berkenaan yang khuatir berkaitan keselamatannya juga mendakwa tiada tindakan sesuai diambil oleh polis.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... it-kes-orang-hilang |
|