View: 769|Reply: 0
|
Harimau Malaya boleh lolos kelompok 100 dunia
[Copy link]
|
|
Skuad Harimau Malaya boleh berada di ranking 100 dunia jika prestasi lebih kemas dan konsisten dipamerkan mereka.
KUALA LUMPUR: Tidak mustahil untuk Harimau Malaya lolos ke dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia dengan syarat prestasi lebih kemas dan konsisten dapat dipamerkan anak buah Kim Pan Gon.
Jika itu terjadi, ia sekali gus akan menyaksikan sasaran strategik dalam Peta Hala Tuju Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau F:30 iaitu untuk Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia menjelang 2026 dapat direalisasikan selepas misi ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sudah berjaya digapai.
Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan berdasarkan perubahan dalam aspek persembahan yang dipamerkan Harimau Malaya ketika ini, skuad Pan Gon memiliki potensi untuk menjayakan misi itu.
Beliau berkata, Harimau Malaya bagaimanapun perlu memperkemaskan lagi corak permainan dan memperbanyakkan aksi persahabatan dengan pasukan di ranking lebih tinggi selain meraih pencapaian baik dalam aksi kompetitif termasuk Piala Asia tahun depan.
"Ranking Harimau Malaya akan lebih baik sekiranya di Piala Asia nanti mereka mampu melayakkan diri ke pusingan kalah mati atau suku akhir.
"Kita nampak peningkatan mendadak dengan apa yang Pan Gon buat sekarang ini dan jika dia mampu memperkemaskan lagi pasukan, saya tak nampak mengapa ranking Harimau Malaya tak boleh naik.
Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa. - Foto fail NSTP
"Lebih realistik kalau dalam masa tiga tahun pasukan senior dapat meletakkan diri mereka dalam kelompok 16 terbaik di Asia. Jadi untuk berada dalam ranking ke-100 atau hampir dengan kelompok itu tak mustahil.
"Tinggal beberapa bulan lagi sebelum Piala Asia tahun depan, kita harap pemain tidak dibuai mimpi semalam. Apa yang berlaku sebelum ini sudah menjadi sejarah kecuali mereka mencipta kejayaan baharu," katanya kepada BH Sukan.
Berdasarkan kemas kini terbaharu dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kelmarin, Malaysia naik tujuh anak tangga untuk berada di kedudukan ke-147 dunia.
Untuk rekod, ranking tertinggi pernah diduduki Harimau Malaya adalah di tangga ke-75 pada Ogos 1993 dan yang terburuk di kedudukan 178 pada Mac 2018.
Selain itu, Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam mengakui tidak terperanjat dengan peningkatan hingga tujuh anak tangga Harimau Malaya berdasarkan keputusan positif dalam beberapa aksi persahabatan dan kempen kelayakan Piala Asia sebelum ini.
Malah, beliau menjelaskan pasukan Harimau Malaya juga perlu bersedia dengan harapan yang lebih tinggi bakal diletakkan oleh penyokong atau pemain ke-12.
"Setiap pemain yang ada dalam pasukan di pusingan akhir Piala Asia nanti perlu bersedia untuk memperlihatkan semangat juang yang tinggi kerana sudah tentu penyokong akan mengharapkan sesuatu yang lebih tinggi," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... -kelompok-100-dunia |
|
|
|
|
|
|
| |
|