View: 721|Reply: 0
|
Ayuh Harimau Malaya leburkan rekod 44 tahun Bahrain
[Copy link]
|
|
Skuad Harimau Malaya memberi penghormatan kepada penyokong selepas berjaya menewaskan dengan jaringan gol 3-1 pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. NSTP/Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR: Apakah persamaan antara Filipina, Hong Kong dan Turkmenistan yang sudah menjadi 'santapan' Harimau Malaya sebelum ini?
Persamaan yang dikongsi ketiga-tiga negara ini adalah mereka menghuni kedudukan yang lebih tinggi berbanding Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu Filipina (133), Hong Kong (147) dan Turkmenistan (134).
Malaysia ketinggalan beberapa anak tangga, mungkin berbelas dan berpuluh di belakang mereka tetapi sekalipun berada di bawah mereka, Malaysia (154) tidak berdepan masalah 'membaham' ketiga-tiga pasukan itu dengan skor agregat 7-1.
Malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berdepan satu lagi pasukan yang berada 65 'tingkat' lebih tinggi berbanding mereka iaitu Bahrain yang menghuni kedudukan ke-89 dunia.
Sebelum ini, ramai yang mengatakan Hong Kong adalah ujian sebenar Kim Pan Gon dan selepas itu Turkmenistan tetapi Bahrain - ini adalah ujian yang 'benar-benar sebenarnya' buat Pan Gon.
Bukan kerana ranking dua angka mereka tetapi mereka memegang rekod 44 tahun tanpa kalah ke atas skuad negara memandangkan kali terakhir Malaysia menang ke atas mereka, tiada seorang pun pemain dalam skuad negara ketika ini yang sudah lahir.
Mereka hanya tewas sekali dalam lapan perlawanan yang diharungi sepanjang 2022 selain berada pada momentum terbaik menang tiga perlawanan berturut turut - momentum sama yang dimiliki skuad negara juga buat masa ini.
Melihat kepada persembahan menentang Bangladesh yang menyaksikan mereka menang 2-0, dua perkara seharusnya menggamit perhatian barisan pemain skuad negara iaitu sepakan sudut dan juga rembatan jarak jauh.
Dua gol mereka terhasil dengan dua 'senjata' ini - satu menerusi tandukan terus daripada sepakan sudut dan satu rembatan jarak jauh yang juga berpunca daripada sepakan sudut.
Mungkin memandang mudah Bangladesh yang menghuni ranking ke-188 dunia, mereka melancarkan sekurang-kurangnya lima percubaan jarak jauh ke arah gawang dengan satu daripadanya 'lekat' sebagai gol kedua Bahrain.
Justeru, penjaga gol dan pertahanan Malaysia tidak boleh 'tidur' dan jangan memberikan ruang untuk mereka melancarkan 'misil' serta lebih berjaga-jaga ketika sepakan sudut - risiko 'kerosakan' dapat diminimumkan jika dua aspek ini berjaya ditangani.
Perlawanan 'six pointer', pertaruhan ke Piala Asia, jangkaan tinggi penyokong, misi tujuh mata - semuanya diadun dalam pertembungan ini yang pasti menjadi 90 minit paling 'berat' buat Pan Gon sejak menjadi jurulatih kebangsaan.
Namun dengan corak permainan yang lebih garang, pemain negara membuktikan mereka mampu mengejutkan pasukan di ranking lebih tinggi dan diharapkan mereka dapat membuatkan Bahrain 'tidak senang duduk' malam ini.
Teruskan menjadi 'Harimau Sebenar' yang dimahukan Pan Gon dan tidak 'bertukar' kepada kucing - ini masalah besar seandainya skuad kebangsaan gagal meneruskan intensiti dan tidak bermain mengikut 'kehendak' Pan Gon.
Harimau Malaya perlu buktikan apa ada pada ranking, tunjukkan bahawa ranking hanyalah angka semata-mata kerana semangat juang dan permainan di atas padang yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah pasukan.
Seandainya kejutan dicipta ke atas Bahrain, tiket ke Piala Asia terbentang luas dan kenapa tujuh kalau boleh sembilan?
https://www.bharian.com.my/sukan ... od-44-tahun-bahrain |
|
|
|
|
|
|
| |
|