|
Chukai: "Saya ingat kebakaran kecil dan bila sampai di rumah, hancur hati saya dapati rumah habis terbakar," kata Nur Diana Atikah Rozde, 22, selepas rumahnya di Kampung Bakau Tinggi, di sini, musnah terbakar, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari, Nur Diana dan suaminya, Mohamad Syafiq Izwan Abdullah, 22, tinggal sehelai sepinggang apabila gagal menyelamatkan sebarang harta benda.
Nur Diana berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya, keluar bekerja dan mendapat panggilan daripada jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar.
"Saya bergegas pulang dan sayu hati ini apabila keseluruhan rumah telah musnah dan kami gagal menyelamatkan sebarang harta benda.
"Kami baru berkahwin November lalu dan baru dua bulan menyewa di rumah ini tidak sangka perkara ini boleh berlaku," katanya.
Menurutnya, dia dan suaminya itu baru semalam membeli baju raya dan barangan keperluan bayi yang bakal dilahirkan.
"Saya sedih sangat apabila semua pakaian raya dan barangan keperluan bayi yang bakal saya lahirkan turut musnah terbakar.
"Apa boleh buat semua itu sudah ketentuan Ilahi dan kami perlu reda dan bersyukur selamat dalam kebakaran itu," katanya yang mengandung empat bulan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan berusaha membantu menyediakan tempat tinggal sementara kepada pasangan itu.
Menurutnya, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kemaman dalam menyediakan bantuan lain kepada mangsa.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran. FOTO Rosli Ilham
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aan-ramadan-metrotv |
|