|
Kuala Terengganu: Jemaah yang lengkap vaksin diberi kebenaran hadir menunaikan solat Jumaat walaupun tanpa suntikan dos penggalak.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, walaupun dibenarkan, jemaah digalakkan mendapatkan suntikan dos penggalak.
"Kita masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada termasuk penjarakan antara jemaah dan mewajibkan setiap jemaah merekodkan butiran menggunakan aplikasi MySejahtera.
"Jemaah juga diwajibkan merekodkan butiran peribadi seperti menulis nombor telefon pada buku disediakan di pintu masuk masjid," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin.
Shaikh Harun berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah menitahkan semua masjid menyediakan kanopi mencukupi di ruang luar, termasuk di parkir masjid atau ruang kosong bersesuaian bagi membolehkan lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat Jumaat.
Katanya, masjid yang mempunyai ruang solat bertingkat juga sudah dititahkan dibuka dan digunakan sepenuhnya untuk kegunaan solat Jumaat.
"Mesyuarat khas Maidam kali pertama yang bersidang pada 11 Januari lalu mengambil keputusan dan ketetapan bersetuju pengimbas suhu badan tidak diwajibkan," katanya. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|