JAKARTA: Indonesia akan membuka semula Bali secara berperingkat kepada pelancong antarabangsa mulai 4 Februari, satu langkah yang sangat diperlukan untuk memulihkan ekonomi pulau peranginan itu yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Kerajaan juga memendekkan tempoh kuarantin mandatori kepada lima hari berbanding tujuh hari kepada pengembara yang sudah lengkap divaksin, walaupun terdapat peningkatan yang stabil dalam kes Covid-19 pada Januari.
Bagaimanapun, pengembara yang hanya menerima satu dos vaksin masih perlu menjalani kuarantin tujuh hari.
“Strategi perlu diubah untuk sejajar dengan jumlah kes yang tinggi akibat penularan tempatan,” kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan dalam satu taklimat seperti dipetik Bernama.
Kerajaan memberi penekanan kepada pengagihan semula kemudahan kuarantin bagi mengutamakan pesakit Covid-19 domestik berbanding pengembara.
Negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu melaporkan 10,185 kes Covid-19 baharu hari ini.
Pada pertengahan Januari, Kementerian Kesihatan menganggarkan jangkitan varian Omicron di negara itu akan mencapai kemuncaknya pada penghujung Februari.
sarawakvoice.com/2022/02/02 |