![](https://sarawakvoice.com/wp-content/uploads/2022/01/WhatsApp-Image-2022-01-10-at-13.19.43-1024x675.jpeg)
KUCHING: Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang memandang serius isu kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan tanggungjawabnya terutama sekali melibatkan Jalan Kuching-Serian.
Menurutnya, beliau menerima banyak aduan daripada pengguna jalan raya berhubung isu berkenaan menerusi media sosial.
“YB Wilfred Yap Yau Sin (Adun Kota Sentosa) juga ada menerima aduan, pengguna memaklumkan bahawa keadaan trafik semakin teruk setiap hari.
“Justeru, kami telah berbincang dengan pihak Lebuh Raya Pan Borneo Utara (LBU), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor untuk mencari cara bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pemeriksaan tapak di lampu isyarat Batu 7 bersama dengan LBU dan JKR di sini, hari ini.
Sehubungan itu, tambah Khere Chiang kesesakan lalu lintas tersebut juga susulan Sarawak beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana banyak perniagaan telah beroperasi dan ramai orang mula keluar rumah.
“Selain itu, seperti hari ini (10 Januari) sekolah juga telah mula beroperasi dan ini juga menjadi penyumbang kepada peningkatan pengguna jalan raya terutama sekali pada waktu pagi,” ujarnya.
sarawakvoice.com/2022/01/10
|