Edited by Vellfire at 10-1-2022 12:59 PM
Abang Johari ketika sidang media malam tadi. - Gambar Penerangan
KUCHING: Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) yang diperkenalkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) memiliki rumah sendiri akan bermula Januari tahun ini.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan Sarawak akan membantu kumpulan berkenaan dengan membayar deposit sehingga maksimum RM10,000.
“Bermakna, jika mereka hendak membeli rumah berharga RM300,000 ke bawah, kerajaan akan membantu membayar deposit sehingga maksimum RM10,000.
“Ini khas untuk mereka kerana saya nampak orang muda yang berumur dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun kalau kahwin, simpanan mereka belum cukup untuk membeli rumah.
“Dan kalau hendak membeli rumah, terpaksa menunggu simpanan cukup untuk mereka membayar deposit,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Ahad.
Justeru bagi membantu kumpulan itu, Abang Johari berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyediakan peruntukan untuk tujuan tersebut.
Ia katanya, untuk memberi kemudahan kepada rakyat untuk memiliki rumah sendiri di usia muda. “Kalau membeli rumah dalam lingkungan umur 40 hingga 45 tahun, tempoh pembayaran adalah pendek maka mereka terpaksa membayar lebih.
“Manakala jika membeli rumah ketika dalam umur 27 atau 28 tahun bermakna tempoh pembayarannya panjang dan dia tak bayar banyak,” katanya.
Mengikut anggaran beliau semasa memegang portfolio Menteri Perumahan dahulu, jumlah unit rumah yang siap dibina setiap tahun di pasaran adalah kira-kira 2,500 unit.
“Ini bermakna kalau ada 2,000 atau 2,500 unit rumah, kita perlu memperuntukkan sebanyak RM25 juta setahun,” ujarnya sambil melahirkan keyakinan Sarawak dapat meneruskan dasar sedemikian hasil daripada sumber pendapatan yang diperolehi.
Terdahulu, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10 juta di bawah skim tersebut menerusi Belanjawan Negeri 2022.
utusanborneo.com.my/2022/01/10
|