KUCHING: Dana Kekayaan Berdaulat akan dilaksanakan selepas kerajaan negeri melantik pakar yang boleh memberi nasihat bagi penubuhannya dan mengurus kewangan yang lebih mantap untuk masa depan negeri.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelaksanaan dana itu akan mencontohi mekanisme diguna pakai oleh negara Norway dan juga Singapura.
“Kita akan merujuk kepada dana-dana yang berjaya seperti yang diusahakan oleh Norway selain negara jiran, Singapura yang juga mempunyai cara-cara menguruskan kedudukan kewangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.
Hadir sama Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Naib Yang Dipertua Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Tetap PBN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Menurutnya, pelaksanaan dana itu adalah antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PBB itu, kerana ia juga merupakan antara 34 perkara yang tersenarai dalam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang lalu.
Sebelum ini, Abang Johari yang juga pengerusi GPS berkata kertas cadangan penubuhan dana itu sudah disiapkan oleh kumpulan pakar dan hanya akan dilaksanakan selepas dibentangkan untuk kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan DUN akan datang.
Selain itu, beliau berkata kerajaan Sarawak juga akan menekankan penglibatan Sarawak dalam bidang tenaga serta bidang-bidang baru seperti ekonomi baru yang menggunakan teknologi serta kelestarian alam sekitar, seperti mana yang turut dijanjikan dalam manifesto GPS.
“Misalnya kita sekarang berhadapan dengan perubahan iklim, sudah tentu ia ada hubung kait dengan pengurusan alam sekitar kita.
“Maka ini akan menjadi satu bidang yang harus kita tekankan dalam tempoh lima tahun pentadbiran akan datang seperti menanam semula hutan.
“Kita juga perlu mengkaji pengurusan hutan yang lebih mampan untuk masa depan agar mempunyai alam sekitar seperti mana yang dikehendaki oleh dunia pada hari ini,” katanya.
Pada masa sama, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak juga akan menumpukan dalam bidang kesihatan dan pendidikan.
by Suaraswk
January 10, 2022 |